Ummal Salmah (dua kanan) berbincang dengan Guru Besar SK Ampang Pecah, Hassan Basri Ismail (dua  kiri).
Ummal Salmah (dua kanan) berbincang dengan Guru Besar SK Ampang Pecah, Hassan Basri Ismail (dua kiri).
Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Bimbingan secara langsung yang diberi kepada guru menerusi Program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) berupaya meningkatkan kualiti pendidik, seterusnya memberi impak berkesan terhadap murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Pegawai SISC+ Bahasa Melayu (Rendah), Ummal Salmah MSM Sultan Dulkarunain berkata, program terbabit berperanan memberi bimbingan terhadap guru untuk menerapkan pedagogi pengajaran yang menarik kepada murid.

Katanya, kreativiti dan inovatif antara nilai ditekankan kepada guru dibimbing (GDB) untuk digunakan sesi pengajaran dan pembelajaran kerana ia dilihat sebagai kunci bagi menarik minat murid.

“Kualiti guru sememangnya menjadi perkara yang diberi penekanan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, iaitu di dalam Anjakan 4,” katanya.

Beliau berkata, dalam meningkatkan kualiti guru, pegawai SISC+ boleh membimbing guru untuk mereka mengamalkan pedagogi menarik, kreatif dan inovatif supaya pembelajaran dan pengajaran kepada murid dapat dilakukan secara berkesan.

“Apa yang penting di sini adalah kemenjadian murid. Saya selalu menekankan dalam sesi bimbingan bahawa kita menyediakan murid untuk masa hadapan mereka, maka kita perlu melihat keperluan murid itu dalam jangka panjang.

“Murid sekarang memerlukan suasana yang membolehkan mereka terbabit secara aktif dalam pembelajaran.

“Selain itu, memang menjadi peranan kami untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan untuk memperkasakan standard guru ke arah pengajaran dan pembelajaran abad ke-21.

“Ia juga membantu guru mengenal pasti aspek kelemahan berdasarkan instrumen yang diguna pakai dalam proses bimbingan. Bimbingan dilakukan sama ada secara individu atau kumpulan kecil,” katanya.

Ummal Salmah yang berpengalaman dalam bidang pendidikan selama 22 tahun itu berkata, program itu bukan saja memberi manfaat untuk meningkatkan kualiti guru dalam sekolah, malah membolehkan amalan terbaik guru dikongsi bersama guru bimbingan di sekolah lain.

“Ini bermakna ilmu atau amalan baik dilakukan dalam kalangan guru bimbingan tidak hanya terhenti, sebaliknya disebarkan kepada guru lain dalam usaha meningkatkan prestasi guru dan murid.

“Dari segi murid pula, mereka akan diberitahu objektif pembelajaran setiap kali sesi bermula dan apabila murid mengetahui objektif, kesediaan mereka untuk belajar lebih tinggi kerana tahu apa yang mahu dicapai dalam sesi pembelajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 9:04 AM