DR Omar  (kanan) bersama Dr  Salleh   pada Majlis Seminar Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Melayu, semalam.
DR Omar (kanan) bersama Dr Salleh pada Majlis Seminar Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Melayu, semalam.
Oleh Kalsom Rahmathulah

Georgetown: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyasarkan seramai 13 juta penduduk negara China dapat mempelajari bahasa Melayu melalui aplikasi atas talian MOOC (Massive Open Online Course).

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar berkata, sasaran itu sejajar Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani bersama Universiti Terbuka Malaysia (OUM), dua minggu lalu.

Beliau berkata, MoA itu bertujuan membolehkan pembelajaran bahasa Melayu dilakukan di negara berkenaan melalui aplikasi MOOC.

“Sasaran jumlah itu dijangka dapat dicapai dalam tempoh masa lima tahun akan datang.

“Malah, setakat ini, ada enam universiti di China yang memulakan pengajian bahasa Melayu dan kami harap usaha ini akan mendapat kesan yang baik,” katanya pada sidang media di Majlis Seminar Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Melayu di Hotel Tabung Haji (TH) di sini, semalam.

Seminar dengan tema ‘Mengukuhkan akar, menjulang pucuk’ itu dianjurkan Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Hadir sama, Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman, yang merasmikan seminar berlangsung selama dua hari itu.

Omar berkata, penggunaan MOOC yang dihalakan ke China itu kaedah pengantarabangsaan bahasa Melayu yang baik menggunakan kemudahan teknologi sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:18 AM