ANTARA wanita yang menerima ugutan along tampil membuat aduan di Pusat Aduan BN Perak, semalam.
ANTARA wanita yang menerima ugutan along tampil membuat aduan di Pusat Aduan BN Perak, semalam.
Oleh Farah Suhaidah Othman

Ipoh: Seorang wanita berada dalam ketakutan akibat diugut 22 along atau ceti haram selepas gagal membayar hutang yang terpaksa dibuat bagi menambah modal jualan pisang goreng untuk menyara 16 ahli keluarganya.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mala, 48, itu mengakui terpaksa membuat pinjaman daripada satu along ke along yang lain bagi meneruskan kehidupan selepas suaminya sendiri tidak membantu kerana tidak bekerja dan penagih dadah tegar.

Mala antara enam wanita termasuk tiga ibu tunggal yang mengadu nasib di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Senam berdekatan untuk membuat laporan polis.

Katanya, desakan hidup untuk menanggung ahli keluarga yang ramai termasuk enam anak yang masih bersekolah dan seorang adik berstatus orang kurang upaya (OKU) memaksa dirinya membuat pinjaman itu bagi membantunya menambah modal perniagaan sebagai penjual kuih.

Menurutnya, dia pernah memohon wang pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) beberapa bulan lalu, namun pinjamannya tidak diluluskan.

“Berikutan itu, saya terpaksa meminjam wang sebanyak RM1,000 daripada along kerana perlu mencari modal tambahan membeli kelengkapan menjual kuih bagi menyara hidup.

“Namun hasil perniagaan saya menjual pisang goreng kira-kira RM400 sehari habis digunakan untuk membayar hutang kepada along.

“Hutang asal hanya RM1,000 tetapi akhirnya berjumlah RM26,000 kerana terpaksa meminjam wang tambahan daripada seorang along kepada along yang lain untuk mencukupkan wang bagi membayar hutang pinjaman berkenaan,” katanya ketika ditemui di pusat khid mat dan aduan berkenaan, semalam.

Mala berkata, dia ketakutan apabila diugut dan diburu along, malah seorang adiknya dirempuh dengan kenderaan dinaiki along yang menunggu di depan rumahnya.

Katanya, selain takut untuk pulang ke rumah, dia terpaksa mengabaikan kesihatannya yang menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, tiroid dan thalasemia kerana tidak mampu membeli ubat-ubatan.

Sementara itu, seorang lagi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 39, berkata dia juga terpaksa membuat pinjaman wang daripada ramai along untuk membayar hutang tertunggak.

“Saya terpaksa meminjam daripada sehingga 30 along. Pada mulanya saya hanya pinjam RM1,000 pada Januari lalu tetapi apabila tidak mampu membayar pinjaman dalam tempoh masa yang ditetapkan, saya pinjam pula daripada along yang lain sehingga jumlah pinjaman termasuk faedah mencecah RM30,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 9:46 AM