Oleh Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Cemburu dipercayai antara motif seorang penganggur agresif dengan menjadikan ibu, isteri dan tiga anaknya sebagai tahanan serta mengancam mangsa menggunakan parang panjang dalam kejadian di Taman Duyong Indah, Duyong, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis berkata, hasil siasatan lanjut pihaknya mendapati suspek mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Selain mendakwa mendapat tahu mengenai hubungan sulit isteri dengan lelaki lain, suspek juga mendakwa dirinya dijampi wanita itu hingga menyebabkan agresif selepas mengetahui mengenai perkara itu.

“Siasatan kes ini masih berjalan dan suspek kini ditahan di Unit Psikiatri Hospital Melaka bagi membolehkan perkembangannya dipantau pegawai perubatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, semalam.

Sementara itu, Shaikh Abdul berkata, pihak hospital juga akan memantau keadaan semasa ahli keluarga suspek bagi memastikan mereka tidak terus dihantui trauma selepas melalui detik yang mencemaskan.

“Semua tiga anak suspek diserahkan untuk dijaga oleh ibu saudara mereka dan hospital memantau perkembangan tiga beradik berkenaan dan mengenai individu yang mengirim khidmat pesanan singkat menerusi WhatsApp kepada suspek perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 7:48 AM