DR Abu  (tiga dari kiri) bersama Dr Mohd Fauzi  (lima dari kanan) ketika majlis pelancaran  GanoCare  di UPM, Serdang.
DR Abu (tiga dari kiri) bersama Dr Mohd Fauzi (lima dari kanan) ketika majlis pelancaran GanoCare di UPM, Serdang.
Oleh Fazurawati Che Lah

Serdang: Penyelidik Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya menemui formulasi baru mengawal penyakit reput di pangkal batang (BSR) sawit melalui ciptaan baja organik yang dinamakan GanoCare.

Ketua Unit Penyelidikan Ganoderma dan Penyakit Kelapa Sawit Dr Idris Abu Seman berkata, GanoCare dihasilkan menggunakan teknologi baja daripada serbuk tandan kosong buah (EFB) sawit dan beneficial elements yang digunakan untuk mencegah penyakit BSR kelapa sawit disebabkan kulat Ganoderma.

“GanoCare sesuai digunakan pada sawit di pelbagai peringkat umur sama ada peringkat anak benih di nurseri, semasa menanam, pra-matang dan matang di ladang.

“Produk ini memberi perlindungan kepada sistem pengakaran sawit bagi menyekat kulat ganoderma memasuki dinding sel sistem pengakaran.

“GanoCare jdapat meningkatkan kesuburan tanah termasuk pertumbuhan dan pembesaran pokok, membina kerentanan dan ketahanan sistem akar pokok,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ganocare serta Perjanjian Pelesenan bersama FELCRA Plantation Services Sdn Bhd, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah. Turut hadir Naib Canselor UPM Prof Dato Dr Mohd Fauzi Ramlan, Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Choo Yuen May dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Datuk Ramlee Abu Bakar.

Menurut Idris, MPOB yang dipertanggungjawab memasarkan Ganocare menyasarkan pengeluaran 5,000 metrik tan baja tahun ini yang turut dipasarkan ke Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 7:40 AM