FOONG Hin (kiri) menerima penjelasan mengenai iM-bioGuard.
FOONG Hin (kiri) menerima penjelasan mengenai iM-bioGuard.

Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bekerjasama dengan IBG Manufacturing Sdn Bhd sudah memulakan ujian penyelesaian inovatif terkini mereka, baja bio iM-bioGuard.

Menurut MPOB dalam satu kenyataan, diperkaya dengan bakteria Pseudomonas yang kuat, baja kawalan biologi ini mampu menangani patogen kulat Ganoderma boninense, yang merupakan penyebab penyakit reput pangkal batang (BSR).

Turut dikenali sebagai "barah" kelapa sawit, katanya BSR adalah antara penyakit paling serius terhadap ladang kelapa sawit di negara pengeluar utama, terutamanya di Malaysia dan Indonesia, menyebabkan anggaran kerugian ekonomi yang amat besar sebanyak RM1.5 bilion setiap tahun.

Teknologi berpaten MPOB - iM-bioGuard adalah baja bio cecair pertama dihasilkan untuk penyerapan mudah oleh pokok kelapa sawit supaya dapat mengurangkan kerosakan akibat penyakit Ganoderma secara berkesan.

Dalam lawatan kerja ke Ladang Machap untuk demonstrasinya baru-baru ini, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata pengenalan iM-bioGuard merupakan satu tonggak penting dalam usaha secara kolektif untuk meredakan kesan kerosakan Ganoderma terhadap industri kelapa sawit.

"Saya berharap dengan memulakan ujian pertama dengan United Malacca Berhad (UMB), ia dapat membantu meningkatkan ketahanan tanaman selain mengamalkan amalan mampan," katanya.

Di samping itu, MPOB dan IBG Manufacturing telah menandatangani perjanjian komersial memperkenalkan teknologi ini kepada industri. Usaha kerjasama ini menandakan pendekatan bersatu memajukan amalan lestari dan menjamin masa depan industri kelapa sawit Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 6:00 AM