SAYANGI anak dan usah biarkan mereka sendirian.
SAYANGI anak dan usah biarkan mereka sendirian.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kini timbul trend yang membimbangkan dalam kalangan wanita berkerjaya yang meninggalkan anak mereka berusia enam tahun bersendirian di rumah tanpa pengawasan orang dewasa.

Pada kita, sesungguhnya apa yang dibimbangkan itu ada rasionalnya kerana ia bukan sesuatu yang sesuai untuk membina dan membentuk perwatakan anak dalam menjalani kehidupan dengan sempurna.

Situasi sebegini akan membawa mudarat besar kepada pertumbuhan generasi muda pada masa akan datang.

Ini kerana anak yang tidak diberikan perhatian secara baik oleh ibu bapa berkemungkinan tinggi untuk terjerumus dalam pelbagai gejala sosial yang merugikan masa depan mereka sendiri.

Kita sememangnya menyedari pihak kerajaan sudah meggubal undang-undang sebagai langkah proaktif mencegah perbuatan ibu bapa yang boleh memberi mudarat pada pembinaan diri.

Misalnya, kita sudah ada Akta Kanak-kanak 2001 - Seksyen 33 yang menyatakan ibu bapa membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan berpatutan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Peruntukan undang-undang itu seharusnya kita lihat dengan fikiran positif kerana ia berbentuk pendekatan untuk tidak membiarkan kanak-kanak terbiar di rumah tanpa jagaan yang seharusnya.

Ia juga sebagai suatu langkah mencegah daripada berlakunya sesuatu yang tidak diingini ke atas diri kanak-kanak.

Namun, bukan soal undang-undang atau akta yang perlu digeruni oleh ibu bapa kerana undang-undang itu sekadar hukuman di dunia semata-mata.

Apa yang harus kita takutkan dan ambil berat ialah balasan Allah ke atas kita sekiranya hak pemeliharaan anak tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya. Ingatlah hukuman membiarkan dan menafikan hak anak yang bakal kita tanggung di akhirat kelak.

Setiap anak terutama yang masih kecil amat memerlukan kasih sayang dan belaian manja kita. Jadi, alangkah hampanya mereka seandainya kita tidak mampu memberikan nilai itu untuk mereka.

Mari kita sama-sama baca dan renungi bait syair Arab ini yang mana kandungan pengajarannya amat berfaedah untuk kita insafi. Antara lain tercatat dalam syair itu:

“Manakan sama cendawan yang tumbuh di zaman yang indah dengan yang tumbuh di tanah gersang.

“Adakah kesempurnaan yang kita harapkan, sedangkan anak disusui wanita yang mempunyai kekurangan.”

Syair Arab ini mengajar kita bahawa memelihara, membesarkan dan selanjutnya mendidik anak haruslah dilaksanakan sebaik mungkin oleh orang tuanya, khasnya kaum ibu. Bagaimanapun, ini bukanlah bermaksud kaum ibu tidak dibenarkan keluar bekerja untuk sama-sama menampung nafkah keluarga, apatah lagi pada masa sekarang yang sangat memerlukan kewangan bagi menampung kehidupan.

Cuma isunya ialah janganlah sampai lalai dalam memberi tumpuan kepada anak. Antara faktor yang menyebabkan keruntuhan akhlak anak dewasa ini adalah kerana kelalaian ibu bapa dan lebih mementingkan urusan kerjaya sehingga mengabaikan tanggungjawab.

Seorang ibu misalnya umpama ‘sekolah’. Seandainya kaum ibu menyiapkan anak dengan titipan kasih dan curahan binaan peribadi diri, insya-Allah akan lahirlah generasi anak Muslim yang unggul dan mulia. Semuanya terletak pada ibu bapa.

Justeru, sebagai ibu yang berkerjaya, kesibukan bukan seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan anak tanpa perhatian. Usahlah bersikap melepaskan batuk di tangga dalam hal penjagaan anak.

Berusahalah menjadi ibu bapa yang sentiasa mengutamakan kepentingan anak. Pandai-pandailah membahagikan masa dan bertindak secara bijak dalam membina kesejahteraan keluarga.

Penulis ialah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 9:01 AM