WAN  Ahmad Najmuddin  (tengah) beramah mesra dengan pesakit kanak-kanak, Muaz Tumilan  ketika mengadakan lawatan ke HSA sempena Hari Polis ke-210, semalam.
WAN Ahmad Najmuddin (tengah) beramah mesra dengan pesakit kanak-kanak, Muaz Tumilan ketika mengadakan lawatan ke HSA sempena Hari Polis ke-210, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis akan mengambil tindakan dengan mendakwa ibu bapa yang didapati gagal mengawal anak mereka daripada terbabit dengan aktiviti berbasikal yang diubah suai pada tengah malam atau awal pagi, sekiranya perkara itu masih berulang.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pihaknya tidak mahu mengambil tindakan drastik dengan menghukum ibu bapa namun sekiranya terpaksa ia akan dilakukan.

“Saya pun sebenarnya terkilan dengan apa yang terjadi dan saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh kerana mengambil tindakan cepat sebelum berlaku tragedi kali kedua.

“Saya tidak mahu mengambil tindakan drastik dengan menghukum ibu bapa tetapi sekiranya terpaksa, saya akan arahkan semua Ketua Polis Daerah untuk mengambil tindakan kepada ibu bapa dengan menuduh mereka kerana membiarkan anak-anak keluar pada waktu tengah malam.

“Kami ada peruntukan undang-undang untuk kami ambil tindakan terhadap mereka iaitu Akta Kanak-kanak 2001. Jadi, kalau kali ketiga ada (berlaku), maknanya ada orang yang sama (terbabit), kita akan ambil tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) sempena Hari Polis ke-210, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penahanan 22 remaja termasuk dua perempuan yang terbabit dengan aktiviti basikal lajak di Jalan Lingkaran Dalam, Sabtu lalu yang juga lokasi sama insiden meragut nyawa lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari lalu.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, ibu bapa dilihat antara peranan penting dalam memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

“Seperti yang dinyatakan Sulaiman bahawa peranan yang paling penting bermula daripada rumah, ini yang saya juga tekankan pada awal dulu.

“Kalau kita tidak kawal mereka, perkara buruk akan berlaku,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya sudah memaklumkan kepada pucuk pimpinan termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan EXCO kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 5:14 AM