Rita bersama Rayyan dan Arjuna. FOTO Arkib NSTP.
Rita bersama Rayyan dan Arjuna. FOTO Arkib NSTP.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Rita Rudaini, 41, lega kerana semua kes mahkamah membabitkan tuntutan nafkah anak, mutaah dan edah dari bekas suami, pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Aidil Zafuan, selesai.

Kata Rita, perjuangan turun naik mahkamah sepanjang lima tahun menuntut hak dirinya dan dua anak, Airit Rayyan Rizqin, 8, dan Airit Qaqa Arjuna, 6, akhirnya berbaloi.

"Alhamdulillah, syukur semua selesai. Sekarang saya boleh menarik nafas lega tanpa perlu memikirkan semua masalah ini.

"Saya kini boleh fokus perkara lain dan tidak perlu lagi memikirkan tarikh perbicaraan kerana kes ini berjalan dalam tempoh agak panjang," katanya kepada Harian Metro.

Rita memfailkan tuntutan nafkah dua anaknya RM5,392 sebulan pada 8 November 2012.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Aidil membayar RM3,000 sebulan pada Januari 2015.

Untuk tuntutan mutaah pula, Aidil diperintah membayar RM30,000 pada Oktober 2015 meski Rita membuat tuntutan RM300,000.

Pada September lalu, mahkamah memerintahkan Aidil membayar tuntutan edah RM10,000.

Rita dan Aidil bernikah secara rahsia pada Februari 2008 di Songkhla, Thailand dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan, September 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 4:17 PM