Ampang: Seorang lelaki meludah sebelum memukul jirannya dengan kayu kerana berebut petak parkir kenderaan.

Dalam kejadian jam 9 pagi kelmarin, suspek berusia 44 tahun membelasah mangsa di hadapan kedai di Pandan Perdana, di sini.

Suspek adalah peniaga dan memiliki kedai bersebelahan premis milik mangsa berusia 41 tahun.

Sumber berkata, mangsa dan suspek dilaporkan bertengkar pada 11 April lalu berpunca isu sama.

“Suspek dilaporkan meludah mangsa, namun lelaki itu hanya mendiamkan diri bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.

“Bagaimanapun, suspek sekali lagi memarahi mangsa selepas mendapati dia meletakkan keretanya di kawasan sama kelmarin,” katanya.

Sumber berkata, tindakan itu menyebabkan mereka bertengkar lebih 10 minit.

“Suspek yang gagal mengawal kemarahannya meludah muka mangsa sebelum lari ke dalam kedainya.

“Suspek muncul semula membawa kayu sebelum membelasah mangsa dan berhenti memukul selepas dileraikan orang ramai.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini. Dia cedera di kepala, tangan dan badan serta mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

“Susulan laporan dibuat mangsa, sepasukan polis bergegas ke lokasi sebelum menahan suspek,” katanya.

Lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 8:43 AM