Sultan Nazrin berkenaan mengetuai mesyuarat Dewan Negara Perak ke-163 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.
Sultan Nazrin berkenaan mengetuai mesyuarat Dewan Negara Perak ke-163 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.
Oleh Muhammad Apendy Issahak

Kuala Kangsar: Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 perlu dijadikan platform untuk rakyat disatukan dalam semangat kenegerian dan kenegaraan, menerima dan menghormati perbezaan, sama-sama berazam untuk teguh bersatu dalam kepelbagaian, membina negara bangsa yang bertamadun lagi dihormati, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah.

Menurut baginda, Istiadat Pertabalan yang akan bermula dengan istiadat meletak kerja pada 3 Mei ini dan berakhir dengan istiadat menutup kerja pada 17 Mei depan, adalah peristiwa yang wajib diusahakan secara bersama untuk membina jati diri rakyat daripada diresapi oleh racun-racun yang mahu memusnahkan tamadun bangsa.

Titah baginda, istiadat itu bukan satu pesta untuk bersuka-suka dan berpesta-pesta kerana baginda amat sensitif akan aspek perbelanjaan dan sering memperingatkan ahli jawatankuasa agar dipastikan elemen bermewah-mewah dan bermegah-megah dihindarkan.

“Istiadat ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memperingatkan kembali warga akan sejarah negara bangsanya yang memiliki tamadun dan sudah membina tamadun bangsa, berlandaskan adab - bertiangkan adat.

“Sebagai Sultan yang dipilih oleh mesyuarat Dewan ini pada 28 Mei 2014, Beta wajib memenuhi tanggungjawab untuk memelihara adab dan adat yang diwariskan turun temurun sejak daripada Sultan Perak yang pertama,” titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-163 di Istana Iskandariah, di sini semalam.

Baginda bertitah, setiap negara ada adabnya yang membabitkan aspek moral, perilaku, perbuatan baik, kesantunan, kesopanan dan kemanusiaan, malah kemajuan sesebuah negara bergantung pada warga yang mengamalkan disiplin yang tinggi, kesusilaan yang terpuji, beradab sopan terhadap negara dan menghormati lambang kedaulatan negara.

“Setiap warga juga ada adatnya dan anggota masyarakat yang menghormati serta menghargai adat adalah masyarakat dan anggota masyarakat yang hidup bertatacara.

“Adat berfungsi membentuk sebuah masyarakat berdisiplin yang maju, dinamik dan progresif. Adat itu mencerminkan jiwa dan keperibadian sesuatu masyarakat-jiwa dan keperibadian sesuatu warga - jiwa dan keperibadian sesuatu bangsa,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, istiadat pertabalan adalah istiadat yang dianjurkan dengan tujuan untuk menziarahi semula adab dan adat negeri beraja - rakyat bersultan, agar semangat kenegaraan dan semangat ketatanegaraan dapat difahami, di apresiasi dan dihayati oleh rakyat jelata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:21 AM