Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Kos operasi pusat penjagaan kesihatan swasta dianggar meningkat secara purata antara dua hingga empat peratus susulan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Holdings Berhad (Bahagian Operasi Pantai) Ahmad Shahizam Mohd Shariff berkata, peningkatan itu didorong oleh kos tidak langsung daripada komponen luar seperti pembekal dan penyelenggaraan.

“Kami (hospital swasta) boleh dikategorikan sebagai pembekalan pelbagai, jadi bukan semua yang kami dapat dikecualikan daripada GST. Malah disebabkan majoriti perkhidmatan kami dikecualikan daripada cukai ini, kami juga tidak boleh menuntut semula daripada kastam.

“Namun saya percaya peningkatan kos ini sudah disedari sejak awal dan semua pihak sudah bersiap sedia menghadapi pelaksanaannya bulan depan. Saya yakin peningkatan ini juga mampu diurus dengan baik oleh operator hospital,” katanya kepada pemberita di Hospital Pantai Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Khazanah-IHH Healthcare Funds yang meraikan kejayaan dua tahun pelaksanaan CSR syarikat bernilai RM20 juta untuk rawatan buat 3,100 pesakit.

Hadir sama, Pengerusi IHH Healthcare Berhad Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Berhad Dr Tan See Leng selain kira-kira 10 keluarga pesakit yang menerima bantuan menerusi program berkenaan.

Mengulas lanjut, menurut Ahmad Shahizam, kos rundingan kesihatan akan dikenakan pada kadar standard bergantung kepada keadaan kesihatan pelanggan.

Katanya, menerusi sesi dialog pagi semalam yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dimaklumkan mengenai kos perkhidmatan rundingan kesihatan swasta yang akan dikenakan pada kadar enam peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 9:04 AM