ANGGOTA unit forensik memeriksa lokasi pembunuhan mangsa.
ANGGOTA unit forensik memeriksa lokasi pembunuhan mangsa.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur

Ajal di tanah perkuburan. Itu nasib tiga lelaki warga asing dipercayai Myanmar apabila dibunuh dengan kejam sehingga ada yang leher hampir putus.

Pembunuhan kejam itu dipercayai berlaku awal pagi semalam berpunca akibat pergaduhan sesama mereka yang sebelum itu melepak dan mabuk di Tanah Perkuburan Kristian, Jalan Kuari Off Jalan Cheras.

Mayat ketiga-tiga mangsa berusia 20-an itu ditemui jam 12.45 tengah hari semalam oleh pekerja di tanah perkuburan itu.

Saksi kejadian yang juga penyelia kawasan itu, Rajeevan Nair, 30, berkata, dia mengetahui penemuan mayat itu selepas dihubungi pekerjanya.

“Sebaik sampai, saya kemudian melihat satu mayat lelaki terbaring di atas tanah dengan kesan berlumuran darah dan kesan tetakan.

“Saya terus menghubung polis, namun ketika menunggu polis saya menemui satu lagi mayat lelaki 70 meter (m) dari mangsa pertama,” katanya.

Rajeevan berkata, selang beberapa minit kemudian satu lagi mayat dijumpai 50 m dari mangsa kedua.

“Pekerja saya juga memberitahu ketika membersihkan tanah perkuburan dia menemui bekas minuman keras berselerakan berhampiran kawasan pembunuhan.

“Apa yang kami ketahui, malam tadi (semalam) terdapat satu kumpulan datang melepak di sini dan mabuk,” katanya.

Mangsa pertama luka di leher yang dikelar dan hampir putus selain luka kesan tetakan di belakang badan dan ibu jari kiri putus.

Mangsa kedua pula cedera di belakang kepala, muka dan jari kanan hampir putus dan mangsa terakhir luka di muka, pergelangan tangan kiri hampir putus, luka di belakang kepala dan jari telunjuk kiri putus.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya sedang mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada pengenalan diri ditemui bersama mereka.

Siasatan awal mendapati mereka datang ke sini untuk melepak dan mabuk sebelum berlaku pergaduhan sehingga dibunuh.

“Operasi khas dijalankan untuk menangkap suspek. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:40 AM