Shah Alam: Dua lelaki direman tujuh hari berhubung kes ahli kongsi gelap Geng 18 yang ditembak mati di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di sini, pagi kelmarin.

Sumber berkata, lelaki berusia 25 dan 42 tahun itu direman bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut mengenai pembabitan mereka dengan suspek dan Geng 18.

“Suspek direman sehingga 13 Mac ini dan siasatan polis akan menjurus kepada semua aspek bagi mengenal pasti jenayah lain yang dilakukan suspek. Kedua-dua suspek ditahan di sekitar lokasi seorang lelaki yang ditembak mati semalam (kelmarin).

“Selain itu, polis kini giat memburu saki baki kumpulan kongsi gelap itu yang dipercayai terbabit dengan pelbagai kegiatan jenayah di negeri ini,” katanya.

Menurut sumber, suspek berusia 25 tahun itu mempunyai rekod jenayah dan tersenarai dalam senarai orang yang dikehendaki manakala suspek berusia 42 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Harian Metro, semalam melaporkan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menembak mati ahli kongsi gelap Geng 18 selepas berlaku insiden berbalas tembakan jam 8 pagi.

Kejadian berlaku di premis barangan lusuh di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di sini, selepas suspek bersenjatakan revolver melepaskan tembakan ke arah polis.

Sebelum itu, suspek berusia 37 tahun ditemui dalam keadaan mencurigakan ketika memandu kereta Toyota Camry oleh anggota D9 yang menjalankan rondaan Ops Cantas Khas di kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald, Seksyen 33, di sini.

Kehadiran pihak berkuasa yang mengarahkan suspek berhenti menyebabkannya merempuh kereta polis dan melepaskan tembakan dalam cubaan meloloskan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:15 AM