Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
Sudirman Mohd Tahir dan Elysa Amirah

Kuala Lumpur: Mengambil kira peningkatan kos sara hidup semasa, elaun pendakwah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) dan Majlis Agama Islam Negeri (Main) wajar dinaikkan.

Ia termasuk elaun yang turut diberikan kepada penggerak masyarakat Orang Asli, mubaligh Islam serta guru agama selaras dengan kadar gaji minimum.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tugasan dipikul kini oleh golongan pendakwah dan penggerak Orang Asli lebih berat dan mencabar.

"Jangkaan saya menjelang Belanjawan 2024, kemungkinan pendapatan negara akan meningkat memandangkan keadaan ekonomi juga berada dalam proses pemulihan. Namun semua bergantung pada kerajaan sama ada ia membebankan atau sebaliknya.

"Sebagai penggerak Orang Asli, mereka perlu pergi ke kawasan pedalaman selain mempunyai kelayakan sebagai pendakwah dari sudut keilmuan, kelakuan dan bersedia menghadapi kesukaran menempuh adat atau pantang larang masyarakat luar bandar itu. Jadi, mereka layak mendapatkan elaun setara dengan gaji minimum," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, cadangan dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu sesuatu yang wajar diterima baik.

"Kita perlu lihat kos digunakan untuk pergi ke kawasan tertentu seperti pengangkutan, makan dan minum. Adakah ia berpadanan dengan usaha mereka.

"Bagi saya pendakwah seperti ini layak kerana sesuai dengan tugasan yang dilaksanakan berbanding dengan pegawai- pegawai yang hanya duduk di pejabat," katanya.

Menurutnya, urusan dakwah kepada Orang Asli memiliki metodologi istimewa berbanding masyarakat biasa.

Terdahulu, media melaporkan Ahmad Zahid meminta supaya elaun pendakwah kontrak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam negeri (MAIN) dan Majlis Agama Islam negeri (MAIN), dinaikkan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, syor itu munasabah selepas mengambil kira pelbagai permasalahan perlu dihadapi golongan berkenaan, terutama dalam kalangan saudara baharu di pedalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 4:01 PM