HARIS (tengah) menyampaikan Anugerah Murid Lelaki Cemerlang Peringkat Negeri Selangor kepada Muhammad Aliff Mahfuz Zulkarami. Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Mohamad Amir Danuri.
HARIS (tengah) menyampaikan Anugerah Murid Lelaki Cemerlang Peringkat Negeri Selangor kepada Muhammad Aliff Mahfuz Zulkarami. Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Mohamad Amir Danuri.

Shah Alam: Pelajar perempuan berusia 14 tahun yang merancang meninggalkan negara ini untuk menyertai kumpulan militan IS di Syria Rabu lalu adalah satu insiden terpinggir dan tidak mempunyai kaitan dengan institusi tahfiz di Selangor.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim berkata, beliau percaya pelajar perempuan terbabit membuat keputusan sendiri selepas terpengaruh dengan media sosial dan bukan disebabkan pendidikan diterima di sekolah tahfiz.

“Secara peribadi, saya rasakan pelajar terbabit membuat pilihan sendiri dan bukan disebabkan (apa yang dipelajari) di sekolah. Mungkin juga dia dipengaruhi daripada pembacaan di laman sosial.

“Atas dasar itu, saya menyeru ibu bapa menjaga anak mereka dan jangan mengambil ringan terhadap perkara ini walaupun mereka belajar di sekolah tahfiz bagi mengelak perkara sama berulang,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini, semalam.

Ketika ditanya sama ada JAIS akan memperketatkan pemantauan sekolah tahfiz swasta berikutan insiden berkenaan, Haris berkata, pemantauan dilakukan jabatan itu sudah mencukupi.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan sekolah tahfiz mematuhi set kurikulum JAIS selain guru diminta mengajar mengikut mata pelajaran ditetapkan.

“Selain tiga sekolah di bawah kelolaan JAIS di Jugra, Kuala Langat, Alam Impian, Shah Alam dan Sabak Bernam, kami tidak membenarkan pelajar membawa komputer riba ke dalam asrama kerana mereka boleh terdedah maklumat media sosial di luar kawalan.

“JAIS belum menerima laporan penuh polis berhubung kes membabitkan pelajar perempuan terbabit. Namun, berdasarkan penyiasatan JAIS, pelajar itu tidak menuntut di sekolah tahfiz seliaan JAIS,” katanya.

Tambahnya, pelajar terbabit berkemungkinan menuntut di satu daripada 30 buah sekolah tahfiz persendirian berdaftar dengan JAIS di Shah Alam, tetapi jabatan tidak mengetahui tahfiz di mana pelajar berkenaan menuntut.

Difahamkan terdapat 150 sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan JAIS setakat ini.

Pada 18 Februari lalu, pelajar perempuan berusia 14 tahun yang berasal dari Muar, Johor, itu ditahan polis Cawangan Khas (Bahagian Anti Pengganas) Bukit Aman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dipercayai merancang berkahwin dengan pelajar Malaysia di Mesir sebelum menyertai kumpulan IS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:59 AM