PISTOL jenis Walther P99 yang dirampas polis. FOTO Bernama
PISTOL jenis Walther P99 yang dirampas polis. FOTO Bernama
ARJUNAIDI (kiri) menunjukan pistol jenis Walther P99 yang dirampas. FOTO Bernama
ARJUNAIDI (kiri) menunjukan pistol jenis Walther P99 yang dirampas. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Senjata yang digunakan penjenayah disyaki merompak dan menembak mati pengawal keselamatan di hadapan bank di Puchong Prima semalam dipercayai dicuri daripada anggota polis yang dibunuh pada 2017.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pistol jenis Walther P99 itu dipercayai dirampas daripada Lans Koperal Valentino Mesa yang ditembak mati di Pondok Polis Komuniti Pinggiran USJ pada 31 Ogos 2017.

"Hasil siasatan, kita mendapati pistol berkenaan dirampas daripada anggota kita yang meninggal dunia selepas diserang ketika bertugas.

"Justeru, dengan tertangkapnya suspek berusia 38 tahun itu, kita berjaya merampas kembali pistol berkenaan.

"Kita juga percaya suspek terbabit dalam enam kes samun bersenjata api yang masih dalam siasatan dan polis percaya, dia bergerak secara solo," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Pada 31 Ogos 2017, Lans Koperal Valentino Mesa, 29, ditemui meninggal dunia oleh anggota Unit Peronda MPV yang pulang dari rondaan pada 3.25 pagi dengan kesan tembakan pada badan di pondok polis terbabit.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, suspek ditahan di hadapan bank di Seksyen 20 Shah Alam.

Beliau berkata, satu das tembakan mengenai belakang seorang pengawal keselamatan yang mengakibatkan pengawal itu meninggal dunia.

"Manakala dua lagi das tembakan yang mana satu das tembakan mengenai tulang rusuk seorang lagi pengawal keselamatan, yang kini sedang mendapat rawatan di Hospital Serdang.

"Semasa kejadian, suspek membawa lari wang yang dianggarkan berjumlah RM500,000 dan semasa ditahan di hadapan bank di Seksyen 20, polis berjaya merampas wang tunai RM350,000, sepucuk pistol, 10 butir peluru dan dua kelopak peluru," katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 4:57 PM