Ipoh: Mangsa kebakaran seorang ahli perniagaan Norhashimah Mohd Ismail, 48, dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas dalam kejadian kebakaran membabitkan rumah kedai di Jalan Greentown, Greentown Nova, di sini, awal pagi semalam.

Norhashimah ibu kepada lima cahaya mata mempunyai penyakit asma dikatakan gagal menyelamatkan diri sebelum ditemui tertiarap di ruang legar tingkat satu premis berkenaan oleh anggota bomba.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, mayat mangsa ditemui dalam bilik tidurnya di tingkat satu premis berkenaan.

“Mangsa dipercayai sesak nafas dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh P Samasuvam berkata, lima jentera dengan dibantu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.45 pagi.

Menurutnya, mangsa bersama empat anak dan 13 pekerjanya tinggal di tingkat atas rumah kedai itu.

“Mangsa dipercayai terperangkap dan terhidu asap menyebabkan sesak nafas dan meninggal dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:53 AM