ANGGOTA polis dan bomba memeriksa kenderaan yang terbalik.
ANGGOTA polis dan bomba memeriksa kenderaan yang terbalik.

Nilai: Seorang wanita warga emas nyaris maut apabila kereta dipandunya terbalik selepas dirempuh sebuah kenderaan lain di Kilometer 272.2, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, pagi semalam.

Menurut sumber, difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 60-an dikatakan dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Alor Gajah.

Kata sumber, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Kembara dipandu mangsa dirempuh dari belakang oleh kereta Proton Wira dinaiki seorang lelaki.

“Akibatnya, kereta mangsa terbabas ke longkang dan terbalik. Bagaimanapun, mangsa terselamat dan hanya cedera ringan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Shamir berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 8.46 pagi.

Katanya, beliau bersama enam pegawai bomba tiba di lokasi jam 9.03 pagi dan mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap di dalam keretanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 10:57 AM