Kuala Lumpur: “Sebagai (penyanyi) profesional, saya beri kredit pada Mojo dan sokongan moral pada Caliph Buskers atas kejayaan mereka. Apa orang nak cakap, terpulanglah,” kata vokalis kumpulan Mojo, Aweera mengenai kecaman segelintir pihak yang membandingkan dirinya dengan kehebatan penyanyi gantian cacat penglihatan, Azmi Saat pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29, malam kelmarin.

Aweera atau Nasharul Aweera Norhissham, 24, berkata, dia tidak tersinggung dengan sindiran dan pertikaian terbabit kerana ia adalah perkara lazim sebagai anak seni.

“Jujurnya, saya langsung tidak berkecil hati malah berbangga dengan (kumpulan) Caliph Buskers sebab mereka menyampaikan lagu itu dengan baik. Hakikatnya, bukan senang hendak menyampaikan lagu itu dan tidak semua orang boleh bawa Romancinta dengan baik seperti mereka lakukan.

“Walaupun saya tahu mereka menurunkan satu key (nota) muzik, mungkin untuk menyesuaikan dengan kemampuan Azmi. Tapi saya terkejut dengan kemampuan membawa Romancinta dengan jayanya. Alhamdulillah mereka pun dapat (anugerah) persembahan terbaik,” katanya.

Keputusan Mojo mengundang Caliph Buskers menyampaikan Roman Cinta pada AJL29 memukau penonton dan menjadi bualan hangat di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 8:07 AM