Kuala Lumpur: Komposer dan ketua kumpulan Mojo, Edry Abdul Halim berkata pihaknya terpaksa membatalkan perancangan untuk menampilkan vokalis baru mereka dari Indonesia, Ryan Brakhma pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29 malam esok kerana gimik itu sudah diketahui umum.

Sebaliknya, Edry, 39, berkata, hasil perbincangan bersama anggota lain mereka bersepakat untuk menampilkan penyanyi undangan yang tiada kaitan dengan Mojo sebagai elemen kejutan kepada semua.

“Siapa orangnya itu saya tak boleh beritahu sekarang. Semua kena tunggu malam AJL nantilah, baru syok (seronok). Tapi saya boleh sahkan penyanyi kami nanti bukan Ryan atau Aweera.

“Kami sudah melakukan latihan bersama seorang penyanyi yang bersesuaian dengan lagu itu. Sama ada dia penyanyi baru atau yang sudah dikenali ramai, itu saya kena simpan (rahsiakan) dulu,” katanya.

Teka-teki mengenai penyanyi yang bakal beraksi dengan Mojo dalam lagu Romancinta pada AJL ke-29, Ahad ini rancak diperkatakan apabila beberapa nama seperti Jaclyn Victor, Azlan & The Typewriter dan Mus May disebut-sebut dalam kalangan penggiat industri.

Spekulasi berpunca daripada kontroversi pertengahan bulan lalu apabila Edry dilaporkan menyingkirkan bekas vokalis kumpulan itu, Aweera atau Nasharul Aweera Norhissham, 24, berikutan perselisihan faham antara mereka sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:20 AM