SHAHRIMAN (tengah) ketika menyampaikan taklimat operasi pelan pemulihan dan tindakan mangsa banjir pantai timur.
SHAHRIMAN (tengah) ketika menyampaikan taklimat operasi pelan pemulihan dan tindakan mangsa banjir pantai timur.
Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) masih memerlukan dana kira-kira RM2 juta bagi fasa pemulihan mangsa banjir di pantai timur melalui Program Kampung Angkat PBSM yang dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun depan.

Program berkenaan yang bermula kira-kira dua minggu lalu menyasarkan sebanyak sembilan kampung iaitu empat di Kelantan, tiga di Terengganu dan dua lagi di Pahang yang dikenal pasti memerlukan bantuan bagi memulihkan keadaan kediaman dan juga kawasan komuniti lain.

Pengerusi Kebangsaan PBSM Tunku Tan Sri Shahriman Tunku Sulaiman berkata, buat masa ini pihaknya sudah mengumpul sebanyak RM3.2 juta bagi melaksanakan program berkenaan dan memperuntukkan RM500,000 bagi setiap kampung.

“Keutamaan kini diberikan kepada kerja pembinaan semula kediaman di kampung yang terjejas memandangkan penyaluran bantuan keperluan asas masih giat dijalankan oleh pelbagai pihak.

“Kita juga akan memaklumkan kampung yang terbabit dalam program ini selepas mengenal pasti keperluan pemulihan supaya dapat membantu mangsa banjir membina semula hidup mereka dengan lebih efisyen dan sistematik,” katanya pada sidang media PBSM, di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden PBSM Kebangsaan, Datuk Wira Dr Bahari Abu Mansor.

PBSM turut menyatakan persediaannya untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak yang terdiri daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyalurkan kepakaran dalam fasa pemulihan mangsa banjir membabitkan membina semula kemudahan dan kediaman yang terjejas.

“Berdasarkan kajian PBSM ke atas kampung yang terjejas, kita dapati kebanyakannya memerlukan sistem bekalan air bersih yang menelan kos ribuan ringgit untuk proses membaik pulih.

“Jadi, melalui program ini, PBSM berharap ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa banjir, sekali gus menyegerakan kerja baik pulih kawasan terjejas akibat banjir,” katanya.

Katanya, bantuan pemulihan banjir berkenaan juga merangkumi pelbagai aspek seperti pembersihan rumah, membaik pulih rumah dan projek rumah sementara dan keperluan utama bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal, harta benda serta mengalami tekanan emosi.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Malaysian Red Crescent Society (5144 2210 7228) atau hubungi setiausaha PBSM pada talian 03-2144 9227.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 6:37 AM