Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerja pemulihan jangka pendek akibat fenomena kepala air pada 18 Ogos di Yan dan Kuala Muda dijangka siap awal November ini.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Ir Md Khuzai Hussain berkata, kerja terbabit sudah bermula pertengahan September lalu dan pelaksanaannya sudah mencapai 65 peratus.

Katanya, terdapat 11 kerja pemulihan jangka pendek bagi aktiviti pembersihan dan program pemuliharaan sungai yang sedang dilaksanakan di daerah Yan.

"Sungai terbabit ialah Sungai Batu Hampar, Sungai Bakong , Sungai Raga, Sungai Ruat Air, Sungai Titi Hayun, Sungai Dara Mandi, Sungai Yan Besar, Sungai Singkir, Sungai Teroi, Sungai Setar dan Sungai Seri Perigi.

Pemandangan dari udara di sekitar Titi Hayun susulan tragedi kepala air kali kedua. FOTO BERNAMA
Pemandangan dari udara di sekitar Titi Hayun susulan tragedi kepala air kali kedua. FOTO BERNAMA

"Kerja berkenaan berjalan serentak dengan purata satu kerja satu jentera di tapak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Fenomena kepala air di kawasan kaki Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu menyebabkan enam mangsa meninggal dunia akibat dibawa arus deras.

Kejadian itu menyebabkan beberapa kampung membabitkan kira-kira 800 rumah di kawasan berhampiran ditenggelami banjir lumpur termasuk di kawasan Merbok di Kuala Muda.

Mengulas lanjut Md Khuzai, berkata, antara kerja yang dijalankan adalah pengorekan semula sungai yang tertimbus akibat mendapan dan penstabilan tebing sungai bagi tempat yang terhakis teruk.

Selain itu, katanya, kerja mengalihkan, membersih dan membuang halangan pokok, ranting dan dahan yang tersekat di struktur lintasan dan jambatan bagi melancarkan aliran air sungai juga dilakukan.

"Kita juga sedang membaik pulih kawasan rekreasi dengan menyusun semula bongkah batu dan membuat semula saluran untuk aliran air berjalan lancar.

"Pada masa sama usaha membaik pulih pintu air yang rosak supaya dapat beroperasi dengan baik turut dilakukan," katanya.

Md Khuzai berkata, pelaksanaan itu dijangka dapat mengurangkan impak kejadian banjir kilat dan menyelesaikan kawasan runtuhan yang serius.

"Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah banjir sepenuhnya, pelaksanaan segera kerja pemulihan ini diperlukan bagi memastikan keselamatan nyawa orang awam dan mengurangkan kerosakan harta benda.

"Penyelesaian keseluruhan kesan bencana ini adalah di bawah Pelan Pemulihan Jangka Panjang yang dalam proses kelulusan pelaksanaannya di peringkat kementerian," katanya.

Sementara itu, Rabu lalu, media melaporkan sebanyak 160 rumah di daerah Yan terjejas akibat banjir kilat selepas air deras turun dari Gunung Jerai, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 3:59 PM