GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Seramai 280 penuntut GiatMara dan Institut Kemahiran Mara (IKM) digerakkan bagi membantu kerja-kerja baik pulih pendawaian elektrik di kediaman mangsa banjir.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lokasi tumpuan sukarelawan itu adalah sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan Padang Jawa, Klang.

Selain itu katanya, sukarelawan terbabit juga akan membantu membaik pulih kerosakan kecil kenderaan, peralatan elektrik dan elektronik serta kerja selenggara perlindungan kerosakan.

"Kita memahami kesukaran penduduk berkaitan pendawaian elektrik yang rosak dan berhadapan risiko selepas rumah ditenggelami banjir.

"Jadi Majlis Amanah Rakyat (Mara) menggerakkan inisiatif ini yang terdiri daripada penuntut Program Diploma Kompetensi Elektrik (DCS) dan Sijil Teknologi Kimpalan (STK)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahdzir berkata, Mara turut menggerakkan lebih 300 sukarelawan terdiri daripada warga kerjanya, anak syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar bagi membantu mangsa banjir di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan sejak beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Mara juga mengenal pasti 2,008 warga kerja dan penuntutnya yang menjadi mangsa banjir dan bantuan segera diagihkan termasuk wang tunai, makanan, pakaian dan keperluan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 3:57 PM