Yusof Md. Yunos menyusun baki ayam untuk dijual.  FOTO OMAR AHMAD
Yusof Md. Yunos menyusun baki ayam untuk dijual. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Rata-rata peniaga di Pasar Besar Larkin di sini, sudah mẹmbuat persiapan rapi bagi memastikan stok jualan mencukupi untuk umat Islam berbelanja sempena Ramadan yang bermula esok.

Tinjauan di pasar itu mendapati, keadaan pasar sesak dengan pengunjung.

Biarpun sempadan Malaysia-Singapura sudah dibuka, suasana di pasar ini tidak seperti sebelum pendemik Covid-19 yang menyaksikan ramai warga republik itu datang berbelanja di sini.

Hanya segelintir pembeli dari Singapura. Itupun kerana mereka mahu menyambut Ramadan dengan saudara di sini.

Peniaga ayam, Yusof Md Yunos, 41, meluahkan rasa bimbang akan berlaku kekurangan bekalan ketika permintaan terhadap ayam semakin meningkat pada Ramadan.

Katanya, bekalan yang diterima pada hari ini sedikit berkurangan berbanding kebiasaannya.

"Biasanya, saya akan pesan 300 ekor tapi yang saya terima pada hari ini 200 ekor sahaja. Ini tanda-tanda permintaan lebih tinggi berbanding bekalan, saya pun tak pasti sama ada bekalan akan mencukupi sepanjang Ramadan.

"Walaupun bekalan mencatatkan penurunan, namun kami masih menjualnya pada harga yang sama iaitu RM8.90 sekilogram," katanya.

Sementara itu, peniaga daging, Daud Imam, 68, berkata, setakat ini mereka tidak berdepan dengan masalah kekurangan bekalan dan berharap keadaan itu berterusan.

Katanya, semua jenis produk daging seperti daging sejuk beku dan daging mentah mahupun tulang mencukupi. Ia juga dijual mengikut harga seperti sebelum ini.

"Saya cuma mencadangkan agar SOP di pasar ini dilonggarkan sedikit dengan membuka lebih banyak pintu, ia memudahkan pelanggan keluar dan masuk," katanya.

Peniaga ikan dan hasil laut, Sabarudin Saim berkata, barangan jualan buat masa ini mencukupi kerana bekalan daripada nelayan sudah beransur pulih manakala cuaca di laut juga baik.

"Kita tidak berdepan kekurangan bekalan sekarang kerana cuaca sudah mula baik. Mungkin Ramadan ini harga ikan juga kembali seperti biasa kerana beberapa bulan sebelum ini, harga ikan agak tinggi.

"Kita lihat daripada Disember hingga Tahun Baru Cina lalu, harga ikan agak tinggi kerana kita tiada bekalan, ramai tidak ke laut, jadi susah dapatkan stok," katanya.

Sementara itu, peniaga sayur, Alina Mohd Aris berkata, pihaknya juga tidak berdepan masalah ketika ini kerana stok sayur-sayuran masih boleh diperoleh daripada peraih seperti biasa.

"Kenaikan harga juga tidak terlalu ketara kerana bekalan banyak dan mencukupi untuk menampung keperluan, khususnya bagi Ramadan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 4:30 PM