WARIS penumpang QZ8501 sebak mengenang insan tersayang di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya, semalam.
WARIS penumpang QZ8501 sebak mengenang insan tersayang di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya, semalam.

Kuala Lumpur: Seorang pramugara pesawat AirAsia Indonesia yang hilang semalam pernah mengirimkan ‘Tweet’ takziahnya kepada mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17 pada Julai lalu.

Memetik laporan tabloid Britain, Daily Mail, pramugara, Oscar Desano pernah mengirimkan Tweet takziahnya yang bertulis ‘I feel truly sorry for the lost of MH17 by Malaysia Airlines. It’s been 2 big catastrophe event for MAS in 1 year.’

Beliau juga mengirimkan ‘Tweet’nya yang bertulis ‘My deep condolences also for the pax’s family, may all the casualties rest in peace...’ dan ‘Hope everything will be OK also for the internal company of Malaysia Airlines... Amiiinnn...’

Semua kiriman Twitter itu bertarikh 17 Julai lalu iaitu tarikh pesawat MH17 itu terhempas ditembak jatuh di Ukraine.

Oscar yang berasal dari Jakarta adalah salah seorang daripada tujuh kru pesawat QZ8501 yang dilaporkan hilang dari pemantauan radar pada jam 7.24 pagi (waktu Malaysia) semalam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya.

Selain itu juga, Tweet terakhir dari Oscar adalah pada perayaan Krismas lalu dan mangsa sedang bercuti bersama rakannya.

Dalam Tweet terakhirnya itu, dia menulis ‘Merry Christmas to all my beautiful friends who celebrate it’ sambil menunjukkan dirinya memakai tag identiti AirAsia.

Selain Oscar, empat lagi anak kapal yang berada dalam pesawat itu adalah Wanti Setiawati, Khairunisa Haidar Fauzi,Wismoyo Ari Prambudi dan jurutera pesawat, Saiful Rakhmad.

Sementara itu, seorang lagi keluarga mangsa, Uswatun berkata, dia terkejut selepas menonton berita nahas ini menerusi televisyen.

“Saya kemudian cuba menghubungi telefon bimbitnya, namun tidak aktif,” katanya.

Semua warisnya terdiri daripada empat sekeluarga iaitu Gusti Made Bobbi Sidharta, 43, Donna Indah Nurwatie, 39, anak Gusti Ayu Putriyana, 16 dan Gusti Ayumade Keisah, 9.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:17 AM