Oleh Adnan Mohamad

Kota Bharu: “Setiap kali dalam kelas, saya akan merekod dengan alat perakam semua perkara diajar cikgu dan menyalinnya semula menggunakan mesin Braille apabila pulang ke asrama.

“Biarpun nampak sukar di mata orang lain, tetapi hanya itu saja cara untuk saya lebih memahami apa diajar guru dan rakan yang juga banyak membantu,” kata Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 15, pelajar buta dari Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Melor di sini.

Berkat kesungguhannya, Muhammad Qayyim mampu memperoleh 6A dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan semalam sekali gus menandingi prestasi pelajar normal di sekolahnya.

Dia memperoleh A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (bertulis), Bahasa Melayu (lisan), Bahasa Inggeris (lisan), Sejarah, Geografi dan Bahasa Arab.

Muhammad Qayyim berkata, dia mempunyai dua guru angkat iaitu Muhamad Hafiz Sabrani dan Nur Safarin Shamsuddin yang sentiasa mengambil tahu perkembangannya.

“Sebagai pelajar khas tunggal di sekolah ini, dua guru itu mengambil berat perihal saya, malah mereka bertanggungjawab memastikan kecemerlangan saya.

“Saya memilih tinggal di asrama sejak awal tahun untuk memudahkan proses pembelajaran kerana sedar PT3 tidak mudah dan alhamdulillah, saya berjaya apabila sering melakukan perbincangan dengan rakan dan guru.

“Selain itu, saya berterima kasih kepada bapa Sarimi Yusoff, 49, kerana membelikan saya alat perakam khas buatan luar negara bagi memudahkan saya belajar,” katanya yang menggunakan mesin Braille sejak tahun satu lagi di Sekolah Kebangsaan Paloh dekat Pintu Geng di sini.

Selain cemerlang akademik, Muhammad Qayyim juga qari dan tiga kali menjuarai Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sementara itu, Mahfuzah Hamizah Mohd Ariff, 15, yang memperoleh 11A dalam peperiksaan itu berkata, dia sentiasa mengamalkan doa setiap kali memulakan proses pembelajaran.

Menurutnya, dia juga sering melakukan perbincangan berkumpulan dengan rakan bagi membolehkannya memahami sesuatu subjek dengan mudah.

“Saya memang tidak sangka memperoleh 11A kerana ada subjek yang susah terutama Sains. Syukurlah berkat kesungguhan dan tawakal akhirnya saya berjaya,” katanya yang beberapa kali khatam al-Quran.

Dalam perkembangan sama, Pengetua SMK (A) Melor Mahiran Salleh berkata, seramai 159 calon PT3 di sekolahnya dan empat daripadanya mendapat 11A, enam mendapat 10A manakala 19 pelajar lagi mendapat 9A.

Katanya, meskipun pencapaian itu sederhana, namun PT3 yang masih dalam tempoh percubaan tahun ini boleh dianggap membanggakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 9:19 AM