Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur : “Hai bangsa Malaysia, aku berlepas diri dari kamu, fahaman kamu, ideologi kamu, aku kafir kepada kamu.” Itu adalah antara ikrar baru pengikut Millah Abraham yang dipercayai memasuki fasa baru dengan sebar dakyah secara terang-terangan.

Ia adalah perkembangan terkini penyebaran ajaran sesat itu yang memasuki fasa dakwah secara terbuka biarpun sudah digempur pihak berkuasa baru-baru ini.

Pendedahan itu dibuat jurucakap Persatuan Penyebaran Islam Antarabangsa Malaysia (IPSI) Noor Mohamed Mohd Yousuf selepas mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan dakyah songsang berkenaan daripada seorang ahli keluarga pengikut terbabit.

Katanya, satu program bersaksi akan dijalankan sekitar Disember ini untuk melafazkan ikrar baru ajaran itu dan satu gerakan lebih agresif untuk menambah pengikut yang taat kepada nabi baru dari negara jiran.

Menurutnya, dalam majlis lafaz ikrar itu, pengikut akan diberi penerangan mengenai sistem yang dibawa Millah Abraham yang merangkumi pentadbiran dan pengurusan negara kononnya selepas mengambil alih pemerintahan negara nanti.

“Parti politik hari ini disifatkan sebagai berhala kecil, manakala pemerintah dirujuk sebagai berhala besar.

“Mereka ini tidak akan tunduk kepada mana-mana sekatan pihak berkuasa kerana yakin dengan ajaran itu selain mempunyai dana yang kukuh untuk membiayai pergerakan mereka,” katanya, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:17 AM