Kuala Lumpur: Tindakan seorang jurujual meminta empat lelaki mengalihkan kenderaan mereka bertukar padah apabila mangsa dibelasah sehingga pengsan dalam kejadian di Laman Rimbunan, Kepong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, dalam kejadian pada 5 Disember lalu jam 2 pagi, mangsa berusia 43 tahun yang hendak pulang mendapati keretanya dihalang sebuah kereta.

“Mangsa meminta pemandu kenderaan berkenaan mengalihkan keretanya.

“Bagaimanapun mangsa diserang empat lelaki di dalam kenderaan itu yang bertindak membelasah mangsa sehingga pengsan,” katanya, semalam.

Munusamy meminta orang ramai yang melihat insiden itu tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 8:01 AM