Keadaan kereta mangsa yang dibakar di Laman Rimbunan, Kepong.
Keadaan kereta mangsa yang dibakar di Laman Rimbunan, Kepong.
Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Seorang tauke kelab karaoke terkejut apabila mendapati kereta mewah Mercedes Benz miliknya dibakar seorang lelaki awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, suspek berusia 26 tahun dikatakan muncul dengan menunggang motosikal sebelum membakar kereta mangsa di Jalan Laman Rimbunan Raya 1, Kepong.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perbuatan khianat itu pada jam 2.30 pagi.

“Berdasarkan siasatan dijalankan, pihak kami mendapati mangsa meletakkan kenderaannya di lokasi itu jam 6 petang semalam (kelmarin).

“Mangsa kemudian masuk ke dalam premis untuk memulakan perniagaan. Namun, salah seorang pekerjanya memaklumkan kereta itu terbakar,” katanya.

Beliau berkata, pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul segera memadam kebakaran kereta berkenaan.

Menurutnya, polis melakukan siasatan di lokasi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada salah sebuah premis berhampiran.

“Terdapat rakaman CCTV merakam gelagat seorang lelaki menaiki motosikal Honda EX5 membakar kereta itu.

“Berdasarkan maklumat itu, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di Pangsapuri Seroja Laman Rimbunan, jam 7.30 pagi tadi (semalam) bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 9:33 AM