PRESIDEN Amerika Syarikat Barack Obama berbual dengan Najib. Turut sama Datin Seri Rosmah Mansor, U Thein Sein (empat dari kiri) dan isteri Khin Khin Win serta pemimpin lain.
PRESIDEN Amerika Syarikat Barack Obama berbual dengan Najib. Turut sama Datin Seri Rosmah Mansor, U Thein Sein (empat dari kiri) dan isteri Khin Khin Win serta pemimpin lain.

Nay Pyi Taw: Sidang Kemuncak ASEAN ke-25 dan Sidang Kemuncak Berkaitan lain selama dua hari, yang dihadiri ketua negara dan kerajaan negara anggota ASEAN serta delegasi masing-masing dirasmikan semalam oleh Presiden Myanmar U Thein Sein.

Ia sidang kemuncak ASEAN pertama dihadiri Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Thailand Jen Prayuth Chan-Ocha.

Delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

U Thein Sein yang juga pengerusi ASEAN 2014, memulakan ucapan alu-aluannya dengan menyuarakan keperluan memastikan terbentuknya Komuniti ASEAN yang padu dari segi politik, ekonomi dan bertanggungjawab dari segi sosial di samping mengukuhkan lagi hubungan luar ASEAN untuk manfaat bersama semua pihak.

Beliau berkata, dua tugas utama yang dilaksanakan ASEAN sepanjang tahun ini membabitkan usaha mengukuhkan Institusi ASEAN, sejajar dengan Piagam ASEAN dan usaha ke arah mencapai Wawasan Komuniti ASEAN Pasca 2015.

Presiden Myanmar itu menyuarakan kegembiraan beliau kerana ASEAN mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang sejajar dengan tema tahun ini ‘Moving Forward in Unity, to a Peaceful and Prosperous Community.’ (Bersama Maju Ke Hadapan Untuk Membentuk Komuniti Aman dan Makmur).

U Thein Sein berkata, usaha membina Komuniti ASEAN sedang dilaksanakan.

Beliau juga menyebut mengenai beberapa aspek penting yang perlu diberi fokus oleh ASEAN apabila pertubuhan itu memasuki tahap baharu integrasinya sebagai sebuah Komuniti.

Pertama, kata beliau, ialah keperluan meneruskan usaha membina budaya pematuhan terhadap undang-undang dan norma ditetapkan ASEAN serta memupuknya supaya terus berkembang.

Kedua, keperluan mempunyai strategi untuk memperkukuh peranan utama ASEAN dalam mekanisme serantau sedia ada dan dalam persekitaran serantau yang sedang berubah.

“Ketiga, keperluan mengekalkan dinamisme ekonomi ASEAN dengan menggiatkan usaha mengukuhkan integrasi dan mengamalkan kaedah pembangunan lestari yang menjamin wujudnya pembangunan inklusif, mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pembangunan,” katanya.

Keempat, keperluan untuk meningkatkan kebingkasan dan daya saing ASEAN mencapai integrasi lebih kukuh di peringkat serantau dan dengan negara di luar rantau ini.

“Akhir sekali, ASEAN perlu meningkatkan kecekapan institusi, kemantapan prosedur, keberkesanan dalam membuat keputusan serta memiliki kemampuan untuk membuat pemantauan, penilaian, laporan dan susulan secara sistematik,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:04 AM