Najib bersama isteri bergambar bersama pemimpin ASEAN dan isteri masing-masing pada Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Najib bersama isteri bergambar bersama pemimpin ASEAN dan isteri masing-masing pada Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Integrasi serantau ASEAN hanya boleh digerakkan jika rakyat 10 negara anggota perkumpulan serantau terbabit sepenuhnya dalam proses berkenaan dan berusaha menjanakan hasilnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat ASEAN perlu merasakan mereka tergolong dalam perkumpulan itu.

“Mereka mesti merasakan bahawa mereka bukan hanya sebahagian daripada ASEAN, tetapi mereka ialah ASEAN, dan masa depannya adalah masa depan mereka,” kata beliau ketika berucap pada majlis Makan Malam Gala bagi meraikan Ketua-ketua Kerajaan/Negara ASEAN di sini, malam tadi.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menjadi tuan rumah majlis itu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 yang dipengerusikan Malaysia.

Sidang kemuncak dua hari itu, yang bermula hari ini di ibu negara dan Langkawi, bertemakan “Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita’.

Turut hadir, Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong, Presiden Myanmar U Thein Sein, Presiden Filipina Benigno S.Aquino III, Perdana Menteri Singapura Lee Hsein Loong, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung serta Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh.

Najib berkata, banyak usaha yang telah dilaksanakan kerajaan bagi merealisasikan integrasi menerusi pelbagai perjanjian, pernyataan, kenyataan dan deklarasi.

Ini, kata beliau, telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dan mewujudkan infrastruktur bagi integrasi serantau.

“Bagaimanapun, instrumen yang kita terima pakai hanya memberi kesan terhad jika rakyat tidak memanfaatkannya secara langsung dan merasakan bahawa mereka telah mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Oleh itu, Perdana Menteri berkata, sidang kemuncak esok turut mengadakan sesi bersemuka bagi membolehkan pemimpin ASEAN bertemu dengan empat kumpulan berbeza iaitu belia, pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan perniagaan dan anggota Parlimen.

Najib menegaskan lebih banyak program berpaksikan rakyat diatur sepanjang tahun ini termasuk Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN, Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 7:55 AM