Canberra: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengunjungi rakan sejawatan beliau Warren Truss semalam dan menyampaikan penghargaannya mengenai bantuan dan sokongan Australia dalam tragedi menimpa pesawat Penerbangan Malaysia MH370 dan MH17.

Perjumpaan berlangsung di pejabat Truss di Bangunan Parlimen di ibu negara Australia pada hari kedua lawatan kerja tiga hari Muhyiddin ke Canberra dan Perth yang bermula kelmarin.

“Kita anggap Australia sebagai sahabat sejati Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri kepada petugas media Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau ke Australia.

Muhyiddin kemudian berlepas ke Perth, bahagian kedua lawatan beliau dan dijadual diberi taklimat mengenai fasa baru operasi mencari Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Beliau berkata, kerjasama dijalin dengan Australia selama ini perlu terus diberi penekanan.

Beliau berkata, pemimpin kedua-dua negara sentiasa membincangkan isu kepentingan bersama seperti perdagangan, pendidikan dan pelancongan dalam pertemuan mereka.

Kata beliau, sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mempunyai sebanyak mungkin sahabat, antara lain untuk memasarkan produknya dan menarik pelaburan.

Pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal sedang dalam penerbangan ke Beijing apabila ia hilang sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac.

Fasa mencari pesawat itu di dasar laut ketika ini dilakukan di selatan Lautan Hindi di perairan luar pantai barat Australia, lokasi ia dipercayai jatuh setelah melencong daripada laluan asal dalam keadaan penuh misteri. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:03 AM