ANGGOTA polis membuat pemeriksaan mayat yang disumbat di dalam beg.
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan mayat yang disumbat di dalam beg.
Oleh Hadzlihady Hassn

Georgetown: Dijerut sampai mati sebelum kepala dipenggal manakala kedua-dua kaki dipotong.

Demikian nasib seorang wanita sebelum mayatnya ditemui hanya separuh badan tanpa kepala dan kaki serta disumbat dalam beg pakaian dan ditinggalkan di kawasan parkir kereta berhampiran Taman Botani, Jalan Kebun Bunga, di sini, semalam.

Mayat yang dibungkus menggunakan selimut itu dijumpai pada jam 11 pagi semalam.

Wanita berkenaan dipercayai dibunuh di tempat lain dan hasil siasatan mendapati hanya separuh badan daripada pinggang hingga ke leher dan dua tangan ditemui di dalam beg pakaian hitam terbabit.

Pembunuh wanita itu melakukan kerja gila kerana siasatan mendapati mangsa dibunuh dalam tempoh 24 hingga 36 jam sebelum mayatnya dipotong.

Difahamkan, mangsa dijerut lehernya terlebih dulu hingga mati sebelum mayatnya diperlakukan dengan kejam oleh pembunuh untuk menghapuskan bukti.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa kemungkinan warga asing kerana tiada suntikan BCG ditemui di lengannya dan pembunuhnya dikatakan memandu kenderaan sebelum memilih kawasan agak sunyi itu untuk mencampakkan beg pakaian terbabit pada awal pagi.

Bagaimanapun, beg berbau busuk serta dihurungi lalat itu ditemui seorang pekerja Taman Botani dan dia terus menghubungi polis kerana curiga.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:16 AM