ZAIN memangku bayi perempuannya. Gambar kecil, Che Ta.
ZAIN memangku bayi perempuannya. Gambar kecil, Che Ta.

Kuala Lumpur: Pelakon terkenal, Rozita Che Wan, 41, selamat melahirkan bayi perempuan secara normal di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, dekat sini, pada jam 2.18 petang semalam.

Rozita yang mesra disapa Che Ta dan bayi comel seberat 3 kilogram (kg) itu dilaporkan sihat.

Menurut pengurusnya, Afeeq Abd Wahab, Che Ta dimasukkan ke bilik bersalin pada jam 8 pagi dengan ditemani suami tercinta, Zain Saidin.

“Kelmarin (Jumaat) dia menjalani pemeriksaan di hospital dan dimaklumkan ada bukaan sebanyak dua sentimeter.

“Doktor minta dia bersedia kerana boleh bersalin bila-bila masa saja. Jam 8 pagi tadi (semalam) dia dimasukkan ke bilik bersalin dan selamat melahirkan selepas kira-kira lima jam 15 minit bertarung,” katanya.

Afeeq berkata, Zain menemani Che Ta sepanjang proses bersalin, malah tidak henti-henti memberikan kata-kata semangat.

Menurutnya, walaupun sebelum ini Che Ta pernah menyuarakan kebimbangan memandangkan kali terakhir bersalin adalah 16 tahun lalu, anak jati negeri Jelapang Padi itu sangat tenang ketika melahirkan puteri sulungnya.

“Dari luar bilik bersalin saya boleh dengar dia ketawa ketika proses bersalin. Dia langsung tidak panik dan sangat kuat semangat,” katanya yang turut memaklumkan Che Ta akan berpantang di Kuala Lumpur.

Che Ta yang bernikah dengan Zain pada 11 Disember 2013 mendapat tajaan bersalin kelas pertama dan rawatan susulan daripada Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri.

Rozita turut mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulunya iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 7:42 AM