Kuala Lumpur: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd terus menyokong usaha Media Prima Berhad (MPB) dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dalam misi meringankan beban mangsa bencana menerusi penyaluran sumbangan RM100,000 untuk Tabung Bencana MPB-NSTP, semalam.

Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Kerajaan Tesco Malaysia Datuk Azlam Shah Alias berkata, pihaknya komited bekerjasama dengan kumpulan MPB dan NSTP dalam misi mengumpul dana bagi membantu mangsa bencana yang kini memasuki tahun keempat.

“Kerjasama ini membolehkan bekalan bantuan disalurkan lebih efektif di kawasan yang terjejas.

“Menerusi kerjasama sebelum ini, kami membantu meringankan beban mereka yang kehilangan harta benda ketika banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Dalam kejadian banjir tahun ini, kita sudah lebih daripada bersedia untuk menghulurkan bantuan,” katanya ketika menyerahkan replika cek sumbangan untuk Tabung Bencana MPB-NSTP kepada Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Manja Ismail di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Hadir menyaksikan penyerahan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek, Pengerusi MPB Tan Sri Johan Jaaffar dan Pengerusi Lembaga Penasihat Tesco Malaysia Datuk Seri Mohamed Abid.

Menerusi komitmen itu, Tesco Malaysia menyalurkan bantuan RM100,000 dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras, tepung, makanan dalam tin, minyak masak, biskut, tuala, sabun, ubat gigi dan lampin pakai buang untuk mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 6:51 AM