PENDUDUK membantu menolak kereta yang ditenggelami air di Taman Murni Permai, Tok Jembal.
PENDUDUK membantu menolak kereta yang ditenggelami air di Taman Murni Permai, Tok Jembal.
Jauhariatul Akmal Johar

Kuala Terengganu : Kerajaan negeri tidak bercadang mengisytiharkan perintah berkurung terutama di daerah Kuala Nerus, di sini, berikutan beberapa lokasi termasuk di tiga institut pengajian tinggi (IPT) ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak Isnin lalu.

Pengerusi Bencana negeri Datuk Mazlan Ngah berkata, kawasan itu ditenggelami air bukan disebabkan pertembungan air laut seperti yang berlaku di daerah Kemaman tahun lalu, sebaliknya kerana takungan air hujan yang disebabkan kerja penimbunan tanah yang tidak mengikut peraturan.

Beliau berkata, kerajaan tidak berdepan sebarang masalah bekalan makanan untuk mangsa banjir yang dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan, tetapi mengakui berlaku sedikit kelewatan penghantaran kerana agensi kerajaan tidak menyangka akan berlaku banjir di kawasan itu.

“Jika diikutkan taburan hujan seperti yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi, daerah itu hanya mengalami hujan sekitar 200 mililiter,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 di Dewan Utama, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, di sini, semalam.

Mazlan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, berlaku sedikit kekecohan di beberapa pusat pemindahan banjir berikutan kelewatan agensi kerajaan terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengendalikan urusan pendaftaran mangsa dan penghantaran bekalan makanan.

Mengulas mengenai beberapa daerah di Terengganu yang ditenggelami air, Mazlan berkata, kawasan itu belum lagi dilanda banjir, hanya sebaliknya disebabkan air hujan bertakung.

Katanya, beberapa sungai yang dijadikan sebagai tempat sukatan banjir masih menunjukkan ia berada di bawah paras bahaya melainkan Sungai Chalok di Setiu dan juga Sungai Kuala Ping di Hulu Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:18 AM