Klang: Helah sindiket perjudian menjadikan bangunan pejabat di Lebuh Batu Nilam 2, Bandar Bukit Tinggi di sini, sebagai pusat perjudian Internet gagal mengaburi pihak berkuasa apabila premis itu diserbu polis kelmarin.

Dalam serbuan jam 11.30 malam itu, polis merampas 16 set komputer dan modem serta menahan seorang penjaga premis warga asing.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan pusat judi itu daripada orang ramai sebelum menjalankan risikan sejak sebulan lalu.

“Mereka menggunakan bangunan pejabat dengan susunan di bahagian dalamnya menyerupai pejabat bagi mengelak dikesan polis.

“Malah ketika serbuan dilakukan, skrin komputer bertukar kepada desktop Windows seolah-olah tiada kegiatan perjudian sedang berlaku di situ,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

Bagaimanapun tiada pelanggan berada dalam premis itu ketika serbuan berkenaan.

Menurut penjaga premis yang ditahan, pusat judi itu beroperasi sejak tujuh bulan lalu dan akan dipenuhi pelanggan antara jam 5 petang hingga 8 malam.

“Saya baru bekerja di sini sejak sebulan lalu dengan gaji ditawarkan sebanyak RM1,100 sebulan. Tugas saya hanya perlu duduk di meja depan memastikan hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk.

“Tapi, malangnya, hari ini (kelmarin) saya ditahan pihak berkuasa dan tidak sempat menerima gaji pertama,” katanya yang berasal dari Jawa, Indonesia.

Kamarul Zaman kemudian berkata, wanita warga asing terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:22 AM