Ampang: Pihak pendakwaan memohon Mahkamah Majistret di sini, semalam supaya memberikan lebih masa bagi melengkapkan dokumen berhubung laporan forensik kes penyanyi dan pelakon Awie yang didakwa mencederakan isterinya Rozana Misbun, Jun lalu.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman kemudian membenarkan permohonan itu ketika sebutan kes berkenaan semalam dan menetapkan 4 November depan sebagai sebutan semula.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memberitahu mahkamah pihaknya perlu membuat beberapa penambahan pada dokumen sedia ada bagi kes itu.

Sebelum ini, pada 4 Julai lalu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan dihadapinya.

Mengikut pertuduhan, dia yang pernah menjadi pelakon utama beberapa filem termasuk Hantu Kak Limah Balik Rumah itu didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana, 36, jam 1.30 petang pada 2 Jun lalu di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara dan denda jika disabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Awie diwakili peguam Hazman Harun.

Awie dan Rozana bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Menerusi perkahwinan terdahulu Awie bersama penyanyi Arni Nazira, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12, yang kini tinggal bersama Awie.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:33 AM