ANAK pelanduk berjaya dibiak Siti Rohayu dan Masrul.
ANAK pelanduk berjaya dibiak Siti Rohayu dan Masrul.
Nurul Husna Mahmud


Bermula dengan sepasang pelanduk terperangkap dalam perangkap landak dibuat Masrul Imam, 42, suami kepada Siti Rohayu Kamarudin, 41, pasangan itu mengambil keputusan merawat dan memelihara haiwan eksotik berkenaan.

Sehingga kini sepasang pelanduk ditangkap dari habitat liar itu sudah membiak kepada lebih 20 ekor di kandang peliharaan pasangan berkenaan di Sungai Besar, Selangor.

Kata Siti Rohayu, dia dan suami antara pencinta haiwan juga mempunyai permit Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) untuk menangkap, menyimpan dan membiak baka haiwan terbabit.

"Sebelum pelihara pelanduk empat tahun lalu, kami sudah pelihara landak dan cakna mengenai penguatkuasaan berkaitan haiwan terancam.

"Suami ketika itu sudah sedia ada lesen menangkap, menyimpan dan kini kami ada permit membiak baka pula.

"Walaupun kami bukan orang yang senang tetapi minat kepada haiwan mendorong kami untuk keluarkan belanja termasuk makanan, kandang dan juga keperluan permit.

"Pihak yang banyak membantu adalah PERHILITAN sendiri dalam memahami tabiat atau keperluan pelanduk," katanya.

Dari segi penjagaan pelanduk kata Siti Rohayu, kini ia lebih mudah kerana baka itu membiak dalam persekitaran haiwan peliharaan berbanding ketika menjadi hidupan liar.

"Sebelum ini kami pernah juga jual beberapa ekor pelanduk kerana keluasan kandang terhad tetapi jumlah pelanduk kami pula semakin meningkat.

"Berdasarkan maklum balas pembeli, pelanduk kami pelihara lebih tahan lasak ('survival rate') daripada yang mereka pernah dapat terus dari penangkap haiwan itu di hutan.

"Selain itu pelanduk peliharaan mudah diuruskan termasuklah tidak terlalu agresif dan ada juga boleh dekat jika terbiasa dengan kehadiran pemilik," katanya.

Menjelaskan kesesuaian pelihara pelanduk sebagai haiwan kesayangan, Masrul berkata, pelanduk hanya akan melompat sana-sini andai terkejut.

"Jinak pelanduk ini seperti 'jinak-jinak merpati.' Walaupun saya dan isteri memberi makan sekali pagi sekali malam, ia tidaklah sampai boleh peluk.

"Kami didekati ketika memberi makan. Bolehlah kalau hendak 'usap kejap-kejap," katanya.

Pada kebanyakan masa, pelanduk tidak mengeluarkan bunyi yang mengganggu kejiranan.

"Ada antara jiran juga tidak tahu kami pelihara kerana tiada 'bunyi' dihasilkan. Kita faham sebab dalam rantaian makanan keluarga rusa, pelanduk antara paling kecil.

"Kami juga ada terima pengunjung yang mengatakan pelanduk kami ini kancil kerana saiznya sebesar kucing dewasa," katanya.

Sementara itu, menurut Masrul, diet diberikan kepada haiwan kesayangannya itu dan mengakui pelanduknya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kandang.

"Pelanduk saya makan nasi dan buah-bahan juga. Malam pula makan palet disarankan pihak PERHILITAN dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Saya berterima kasih kepada penduduk dan juga pengusaha kebun berhampiran yang menyumbang serta menawarkan pembelian hasil tanaman mereka dengan harga lebih rendah.

"Ini membantu kami peminat haiwan eksotik dapat terus peliharaan haiwan kesayangan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 6:45 AM