ANTARA ikan laga yang dipertandingkan.
ANTARA ikan laga yang dipertandingkan.
Muhamaad Razis Ismail


DAHULU, ikan laga hanya boleh ditemui di kawasan parit terbiar atau bendang dan menjadi mainan kanak-kanak di sekitar kampung.

Kini keadaan sudah jauh berubah, apabila ia mula mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat termasuk di bandar.

Apa tidaknya, pertandingan ikan laga kini tumbuh bagai cendawan di seluruh negara dengan menawarkan hadiah cukup lumayan.

Jadi tidak hairanlah, apabila satu-satu pertandingan mendapat sambutan luar biasa sehingga 3,000 penyertaaan.

Jumlah itu meningkat berkali ganda ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Perkara itu diakui penganjur Shah Alam PKP Betta Battle, Mohd Azizie Othman yang mengakui terkejut apabila memperoleh penyertaan luar biasa di seluruh Malaysia dan Singapura.

IKAN laga yang membawa kemenangan kepada Syamsul.
IKAN laga yang membawa kemenangan kepada Syamsul.

Katanya, biarpun pada ketika itu terdapat empat lagi pertandingan sama yang dijalankan serentak, mereka masih mampu menerima lebih 3,000 penyertaan.

"Pada mulanya saya sangkakan penyertaan tidak banyak, kerana terdapat juga empat pertandingan ikan laga di tempat lain, namun sebaliknya berlaku apabila kita menerima penyertaan luar biasa.

"Kita sasarkan 2,500 penyertaan tapi kita dapat lebih 3,000 penyertaan membabitkan 114 kategori termasuk 'half moon,' 'double tale' dan 'crown tale' yang kita boleh anggap sebagai luar biasa," katanya ketika ditemui di Space U8, Shah Alam, baru-baru ini.

 SAMBUTAN menggalakkan.
SAMBUTAN menggalakkan.

Menurutnya, jumlah peminat ikan laga meningkat mendadak sejak PKP dilaksanakan pada tahun lalu antara faktor peningkatan luar biasa.

"Pada ketika itu, ramai pengusaha ikan laga mengambil kesempatan berniaga secara dalam talian dan mendapat sambutan menggalakkan.

"Uniknya ikan ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas selain ini satu perkembangan yang baik," katanya.

Beliau berharap perkembangan positif ini diteruskan untuk merancakkan industri ikan laga di negara ini.

SYAMSUL Nizar (tiga dari kiri) teruja memenangi salah satu kategori.
SYAMSUL Nizar (tiga dari kiri) teruja memenangi salah satu kategori.

"Saya berharap lebih ramai tampil ke hadapan menganjurkan lebih banyak pertandingan seperti ini supaya trend sebegini terus kekal.

"Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan pemintaan terhadap ikan laga dan peminatnya terus bersemangat menyertai pertandingan," katanya.

Sementara itu salah seorang pemenang kategori Junior Half Moon Butterfly, Syamsul Nizar Jamaluddin, 32, teruja apabila berjaya membawa pulang piala dan wang tunai RM885.

"Sudah pasti saya gembira kerana ini adalah kemenangan terbesar sejak menyertai puluhan pertandingan ikan laga sejak tahun lalu.

"Ia sekali gus menyuntik semangat untuk buat yang terbaik untuk pertandingan ikan laga di masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 6:04 AM