MUSANG pandan manja gemar bersiar-siar atas motor selain suka menyepah.
MUSANG pandan manja gemar bersiar-siar atas motor selain suka menyepah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


"Setiap kali dibawa menaiki motosikal, Cici tidak pernah melompat atau bergerak sana sini, sebaliknya ia hanya diam seakan-akan seronok dapat keluar rumah berjalan-jalan mengambil angin luar.

"Cici memang manja dan ia juga seakan 'reda' apabila dipakaikan topi keledar dan aksesori fesyen lain ketika bersiar-siar," kata Amie Ismail, 40.

Pemilik seekor musang pandan betina dari Batu Pahat, Johor itu jelas mencuri perhatian apabila dia bukan sahaja suka menggayakan haiwan peliharaannya malah membawanya keluar bersiar-siar menaiki motosikal.

Menurut Amie, dia memelihara Cici sejak ia masih kecil selepas diberikan oleh salah seorang rakannya.

Katanya, dia jatuh cinta pandang pertama apabila melihat kecomelan musang pandan itu dan mengambil keputusan untuk terus membelanya sehingga kini.

"Diam tak diam, Cici kini sudah berusia 10 tahun dan berat badannya sudah melebihi lapan kilogram

"Seperti haiwan peliharaan lain, ia memang jinak dan manja mungkin disebabkan faktor saya memeliharanya sejak kecil lagi.

"Sebelum ini, saya melepaskan ia bebas di dalam bilik tetapi sejak kebelakangan ini Cici suka menyepahkan barang jadi ia terpaksa diletakkan di dalam sangkar jika saya tiada di rumah," katanya kepada Harian Metro.

Amie berkata, seperti keperluan memelihara haiwan yang dilindungi lain, dia juga mendapatkan lesen yang sah daripada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN).

Katanya, lesen itu perlu diperbaharui setiap tahun dengan bayaran tertentu.

"Walaupun ada yang agak pelik melihat musang menjadi haiwan peliharaan saya namun ramai yang tidak tahu sebenarnya ia antara haiwan yang mudah dijaga.

"Makanannya juga ringkas iaitu buah-buahan seperti durian (terutama jenis Musang King), epal, pisang, mangga, kurma atau isi ayam rebus sahaja dengan kos antara RM200 hingga RM300 sahaja setiap bulan.

"Isi ayam bagaimanapun perlu dipastikan tidak mengandungi tulang kerana ia boleh menyebabkan Cici sembelit, "katanya yang memberi haiwan kesayangannya itu makan antara dua hingga tiga kali sehari.

Jelas Amie lagi, berbanding kucing atau haiwan peliharaan lain, musang pandan juga susah diserang penyakit dan ia adalah bonus untuk pemilik sepertinya.

Namun, musang pandan betina akan mengalami ' datang bulan' setiap bulan dan perlu dibersihkan bagi memastikan badannya tidak berbau.

"Biasanya saya memandikan Cici seminggu sekali tetapi jika ia datang bulan,' kemaluannya perlu lebih kerap dibersihkan," katanya.

Amie berkata, sebelum memelihara haiwan seperti musang pandan, seseorang itu perlu mempunyai ilmu dan mendapat maklumat penjagaan yang secukupnya.

Ini kerana pemilik perlu mengetahui tabiat dan cara penjagaan haiwan terbabit dengan betul bagi memastikan kebajikannya terjaga.

Kata Amie, dia sendiri sehingga kini masih menimba ilmu penjagaan haiwan berkenaan menerusi kumpulan pemilik musang pandan dari seluruh negara.

"Selain itu, pemilik juga harus pastikan, jika musang pandan peliharaan tidak jinak atau garang, jangan sesekali biarkan ia didekati kanak-kanak.

"Ini kerana dia akan menggigit untuk melindungi diri apabila rasa terancam.

"Tetapi gigi dan taringnya tidaklah tajam, seperti gigi kucing sahaja," katanya yang turut membuka akaun Facebook khas untuk haiwan kesayangannya iaitu Cici si musang friendly.

Sementara itu, Amie berkata, selain Cici, dia juga memiliki haiwan peliharaan lain seperti kucing, hamster dan sugar glider.

Semua haiwan itu turut diletakkan di dalam sangkar masing-masing dan tidak menimbulkan masalah antara satu sama lain.

Katanya, keluarga terutama ayah turut menyokong minatnya itu.

"Adik beradik lain juga ada yang memelihara kucing dan arwah ibu juga menyayangi haiwan.

"Selain itu, rakan serumah juga turut ringan tulang membantu menjaga haiwan berkenaan jika saya memerlukan tenaga tambahan.

"Pendek kata, memang tiada kesukaranlah untuk memelihara Cici dan haiwan yang lain kerana pokok pangkalnya adalah minat selain saya sendiri memang menyayangi haiwan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 7:00 AM