PLATFORM komunikasi digital tidak hanya tertakluk kepada komunikasi, malah membabitkan produktiviti sehingga kepada pembelajaran.
PLATFORM komunikasi digital tidak hanya tertakluk kepada komunikasi, malah membabitkan produktiviti sehingga kepada pembelajaran.
Muhammad Saufi Hassan


PLATFORM komunikasi digital sangat penting ketika ini kerana ia tidak hanya tertakluk kepada komunikasi saja malah sudah membabitkan kepada produktiviti sehingga kepada pembelajaran.

Jika dilihat semula negara rantau Asia Tenggara pada hari ini, Malaysia antara negara yang mempunyai kadar penetrasi internet paling tinggi.

Antara lain, ia memberi maksud yang sangat positif bagi sektor ekonomi serta memberikan kemajuan dalam sektor pendidikan.

Pada masa sama, jurang antara bandar dan luar bandar dalam konteks komunikasi digital dapat dikurangkan serta penduduk boleh menikmati jaringan telekomunikasi yang sama dengan bandar serta kampung.

Jika menyebut soal bandar, ia mungkin bukan masalah untuk mendapatkan jaringan Internet serta kelajuan jaringan yang stabil, namun negara mampu mencapai antara negara yang mempunyai kadar penetrasi yang sangat baik dibandingkan dengan Singapura dan beberapa negara lain.

Jurang digital antara desa dan bandar perlu dikecilkan malah tidak mustahil suatu hari nanti tiada jurang yang memisahkan antara bandar serta luar bandar jika menyentuh soal digitalisasi.

Generasi kanak-kanak atau remaja antara yang mendapat kesan langsung daripada kemajuan atau pengecilan jurang ini daripada aspek positif atau negatif.

Berdasarkan data daripada firma kajian terkemuka, Statista menunjukkan bahawa kadar penetrasi digital untuk negara ini pada tahun 2021 adalah 91 peratus dan untuk tahun lalu direkodkat 94.5 peratus.

Berdasarkan perangkaan, negara akan mencatatkan kadar penetrasi digital mencecah 98 peratus bermula tahun depan sekali gus merapatkan jurang digitalisasi antara bandar serta kawasan luar bandar.

Malah, jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara, Malaysia berada di kelompok tertinggi di belakang Singapura untuk kadar penetrasi internet ini dan ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Perluasan dunia digital ini tidak hanya tertumpu kepada industri atau perniagaan saja sebaliknya ia turut mempengaruhi segmen pendidikan apabila digitalisasi berkenaan mengubah landskap pembelajaran.

Berdasarkan kepada satu dapatan Kaji Selidik Kepenggunaan Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 2020 memperlihatkan peratusan peningkatan kanak-kanak serta remaja berusia lima hingga 17 tahun daripada 18.4 peratus pada 2016 kepada 47 peratus pada 2020.

Dari satu sudut positif, ia menunjukkan bahawa penembusan digital dalam kalangan kanak-kanak adalah tinggi sekali gus satu premis ringkas boleh dibina iaitu kanak-kanak di negara ini mempunyai literasi teknologi yang tinggi.

Bagaimanapun, jika diperhalusi data berkenaan juga mendedahkan hanya 34.4 peratus ibu bapa saja yang menggunakan kawalan peranti atau 'parental control' sebagai penghalang kanak-kanak melayari kandungan tidak sepatutnya.

Tempoh penggunaan internet melebihi lapan jam sehari juga turut meningkat kepada 11.5 peratus pada 2020 berbanding 8.1 peratus saja pada 2018.

Ibu bapa perlu memainkan peranan yang sangat besar dengan mengehadkan tempoh waktu di skrin untuk kanak-kanak.

Mereka juga perlu melihat kandungan popular yang dilayari anak mereka supaya mengetahui trend penggunaan peranti pintar berkenaan sekali gus mengelakkan akses kepada kandungan tidak sepatutnya.

Bayangkan tempoh kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa melayari internet melebihi 18 jam sehari iaitu menghampiri tempoh seharian sebanyak 24 jam.

Berdasarkan data diperoleh, pengguna internet kita pada 2020 adalah sebanyak 88.7 peratus, jika dilihat daripada satu aspek, ia sangat bagus apabila kadar penetrasi digital kita tinggi namun kita juga perlu lihat aspek negatif yang lain.

Berdasarkan perangkaan, kadar penetrasi internet itu akan meningkat sehingga lebih 89 peratus menjelang 2025 manakala jika kita lihat kepada purata penggunaan kuota data turut meningkat.

Kadar purata kuota data pada suku pertama tahun lalu adalah 25.7GB berbanding suku pertama 2019 hanya 16GB saja dan ini dilihat sejajar dengan peningkatan tempoh pengguna di ruang internet.

Laporan itu juga menyatakan bahawa ramai dalam kalangan ibu bapa tidak menggunakan kawalan tempoh masa skrin anak-anak mereka jadi ia umpama memberikan senjata kepada golongan ini.

Ringkasnya, gajet ini sebagai senjata, ada kalanya ia membawa kepada aspek positif, ada ketika ia memberi keburukan, jadi ibu bapa perlu memainkan peranan.

Memang perlu diakui, hampir semua maklumat sudah berada di ruang internet dan boleh diakses pada bila-bila masa, namun bagaimana jika tiada kawalan.

Bagaimanapun, wujud kemungkinan kanak-kanak ini akan mengakses kandungan tidak sepatutnya seperti pornografi dan sebagainya.

Ibu bapa mempunyai peranan yang besar pada era siber ini supaya mereka turut sama-sama celik teknologi supaya boleh memberikan garis panduan kepada anak-anak kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 7:00 AM