Muhammad Saufi Hassan


Sekali imbas, perkakas ini persis umpama televisyen (TV) dan jenama Samsung tidak asing lagi dalam pengeluaran perkakas elektronik dalam segmen berkenaan iaitu TV, namun sebenarnya kefungsian perkakas ini jauh berbeza dengan TV.

  Samsung kali ini mengambil pendekatan interaktif, malah penulis menyifatkan bahawa ia perkakas paling interaktif yang pernah berada di pasaran.

  Keunikan serta kefungsian yang berbeza, kali ini Samsung memperkenalkan perkakas 'Interactive Signage Flip' iaitu Samsung Flip Pro WM55B yang memberikan dimensi baharu erti kata interaktif.

  Produk ini dikategorikan dalam segmen industri atau perniagaan memandangkan keperluan untuk 'board interactive' ini lebih memberi fokus kepada segmen berkenaan berbanding kepenggunaan massa.

  Sebelum memperkatakan tentang spesifikasi serta keupayaan Samsung Flip Pro ini, pujian harus diberikan kepada Samsung kerana kreatif dalam menghasilkan satu perkakas yang mampu beroperasi persis 'whiteboard' namun dalam kaedah yang lebih interaktif sesuai dengan kemajuan teknologi pada hari ini.

  Sama seperti saiz TV konvensional, Flip Pro ini turut didatangkan dengan beberapa saiz pilihan bermula daripada 55 inci, 65 inci, 75 inci dan 85 inci mengikut kesesuaian kegunaan.

  Pastinya, perkakas ini memerlukan tempat letak yang khusus kerana dan untuk itu, Samsung sudah bersedia dengan tempat letak untuk Flip Pro ini yang dikenali sebagai 'Digital Flip Stand' yang direka dengan ergonomik.

  Pemasangan Flip Pro tidak sukar namun pengguna perlu meletakkan kabel di bahagian belakang terlebih dahulu sebelum melakukan pemasangan kepada peletak khusus berkenaan.

Samsung Flip Pro mempunyai menu interaktif untuk pemilihan sebarang mod.
Samsung Flip Pro mempunyai menu interaktif untuk pemilihan sebarang mod.

  Perlu diingatkan bahawa kedua-dua perkakas berkenaan adalah berat dan memerlukan tenaga dua orang untuk tujuan pemasangan, tetapi selebihnya adalah mudah.

  Samsung Flip Pro ini turut menyokong pelbagai sambungan kerana ia mungkin digunakan untuk tujuan pembentangan, sidang video dan paling utama adalah perkakas ini menyokong Apple AirPlay 2 dengan kaedah paling ringkas untuk melaksanakan sambungan.

  Sesuai untuk tujuan yang interaktif, Flip Pro ini didatngkan dengan stylus yang boleh dilekatkan di bahagian depan perkakas berkenaan dan paling mengujakan adalah ia mampu untuk mengesan lebih 2,048 kadar tekanan (pressure point) serta kelengahan yang rendah iaitu 26ms bersama sokongan 20 titik pelbagai sentuhan.

  Kadar tekanan serta titik pelbagai sentuhan berkenaan membolehkan dua stylus berkenaan digunakan secara serentak dan Flip Pro berkenaan akan mengesan atau melakar atau menghasilkan kesan tekanan pada skrin Flip Pro tanpa sebarang masalah.

  Dalam erti kata yang lebih mudah, Flip Pro berkenaan tidak berfungsi dalam 'one touch per point' sebaliknya ia adalah kefungsian pelbagai sentuhan.

  Pengguna juga boleh memilih pelbagai mod menerusi menu interaktif dan melakukan pemadaman tulisan, lakaran atau sebaliknya dengan menggunakan sepenuhnya tapak tangan.

  Sambungan menerusi 'mirroring' boleh dilakukan dengan tablet pengguna dan pada pandangan penulis, Flip Pro ini lebih sesuai menggunakan tablet mudah alih berbanding laptop kerana ia tidak dilengkapi dengan 'tray' letak untuk laptop.

Perkakas ini akan membawa dimensi baru dalam industri serta bilik kuliah interaktif.
Perkakas ini akan membawa dimensi baru dalam industri serta bilik kuliah interaktif.

  Sememangnya, rekaan Samsung Flip Pro ini lebih berfokus kepada kegunaan industri atau syarikat, namun kegunaan dalam kelas kuliah juga sangat sesuai namun saiz perlu dipertimbangkan.

  Pastinya, untuk ruang yang lebih besar, pengguna perlu memiliki Flip Pro dengan saiz yang besar supaya imej atau pembentangan atau sebarang tugasan boleh dilihat dengan jelas oleh semua audien.

  Penulis boleh katakan bahawa ia adalah perkakas untuk segenap aspek (all rounder) kerana menerusi menu interaktif Flip Pro berkenaan, ia turut dilengkapi dengan perkakas berkaitan matematik untuk melaksanakan graf, sudut darjah, trigonometri dan sebagainya.

  Perkakas ini juga menyokong sambungan bermula daripada USB A, USB 2.0 Type B serta USB C dengan kuasa 15W.

  Seperti yang penulis katakan diawal tadi, Flip Pro ini memang sesuai untuk pembentangan berkonsep 'on the move' iaitu ia lebih mesra kepada peranti mudahalih seperti tablet, peranti pintar khususnya generasi Samsung Galaxy Siri S dan tidak begitu mesra untuk perkakas konvensional seperti laptop.

  Secara keseluruhannya, Samsung Flip Pro ini menampilkan konsep atau falsafah produk yang unik iaitu memberi membaharuan kepada penggunaan perkakas konvensional dengan memberikan satu produk interaktif.

  Flip Pro ini bukan saja interaktif malah berupaya untuk memberi dimensi baharu dalam pembentangan, pembelajaran di bilik kuliah dan sebagainya.

  Bagaimanapun, sistem pemuka perkakas ini tidak begitu mudah untuk difahami dan pengguna memerlukan sedikit masa untuk meneroka kefungsian, menu interaktif dan mula menggunakannya.

  Ia bukanlah satu 'setback' yang besar jika dibandingkan dengan kefungsian yang pelbagai untuk perkakas ini, cuma ia mungkin boleh diperbaiki pada masa depan.

  Samsung tidak menyatakan tanda harga rasmi untuk Flip Pro ini namun sesuai untuk kegunaan industri dan bukannya produk konsumer biasa, ia pasti mempunyai tanda harga yang agak tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 1:36 PM