Muhammad Saufi Hassan

 

Memiliki kad grafik berprestasi sememangnya menjadi impian setiap 'gamers' namun pastinya perlu membelanjakan sejumlah besar wang untuk mendapatkan perkakas yang baik.

  Namun begitu, MSI menawarkan variasi kad grafik 'mesra poket' daripada siri Ventus yang tidak kurang menawarkan prestasi yang baik sesuai dengan bajet pengguna.

  MSI Ventus 2X RTX 3060 adalah jawapan untuk perkakas kelas pertengahan yang menawarkan prestasi baik sesuai dengan kelasnya.

  Perkakas berkenaan dilengkapi dengan dua unit kipas penyejuk serta sesuai untuk pelbagai jenis kerangka atau 'tower' mengikut kesesuaian pengguna.

  Kad berkenaan menggunakan teknologi Ampere untuk generasi Nvidia GeForce RTX 3000 serta sesuai untuk memberi kesan grafik yang baik ketika permainan.

  Teknologi penyejuk menggunakan Torx Fan 3.0 yang memberikan 50 peratus lebih tekanan udara berbanding kipas biasa dan jika dibandingkan dengan Torx Fan 2.0, ia menawarkan kuasa 15 peratus lebih baik.

  Penggunaan teknologi 'Zero Frozr' juga memberikan penyejukan lebih optimum di samping penghasilan bunyi kipas paling minimum sekali gus tidak mengganggu pengguna.

  Kad grafik ini dilengkapi dengan plat pelindung belakang untuk penyebaran haba lebih baik bersama-sama dengan tiga sokongan sambungan DisplayPort serta satu HDMI untuk kefungsian pelbagai skrin paparan.

  Untuk prestasi pula, kad ini didatangkan kapasiti memori video (VRAM) 12GB dengan penalaan kuasa 1,807Mhz.

  Pengguna juga boleh melakukan talaan prestasi sendiri dengan melakukan ubahsuai menggunakan perisian MSI AfterBurner termasuk keupayaan penyejukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 10:39 PM