Muhammad Saufi Hassan


Pengeluar perkakas komputer dan segmen permainan terkemuka, MSI memperkenalkan set desktop semua dalam satu (AIO) Pro AP272M yang dikuasakan dengan variasi Intel Core i3 sehingga i7 generasi ke-12.

  Menerusi desktop AIO berkenaan, ia menawarkan kuasa prestasi sesuai dengan penggunaan pada hari ini khususnya untuk memenuhi segmen produktiviti.

  Menyentuh aspek spesifikasi, cip pemproses didatangkan dengan tiga variasi iaitu Intel Core i3-12100, Intel Core i5-12400 dan Intel Core i7-12700 bersama padanan memori (RAM) dua slot DDR4 frekuensi 3200MHz.

  Padanan RAM berkenaan turut menyokong sehingga 64GB bersama slot storan M.2 SSD serta 2.5 inci HDD atau SSD.

  Skrin untuk AP272M ini adalah bersaiz 27 inci dengan teknologi paparan IPS LED Backlight bersama MSI Anti-Flicker bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

  Sesuai dengan keperluan pengguna pada hari ini, AP272M ini didatangkan dengan webcam untuk resolusi definisi penuh.

  Bagi memberi kestabilan penggunaan, desktop semua dalam satu ini menyokong sambungan WiFi 6 dengan keupayaan tiga kali ganda kelajuan serta jaminan 75 peratus pengurangan kelengahan termasuk sokongan sambungan MU-MIMO.

  Untuk segmen produktiviti, AP272M adalah pilihan yang terbaik kerana menawarkan semua spesifikasi terkini di samping rekaan yang bersifat minimalist.

  Pengguna tidak lagi perlu memikirkan untuk meletakkan set desktop atau 'CPU' yang besar di atas meja sebaliknya AIO daripada AP272M ini memiliki semua ciri khusus yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 12:12 PM