Muhammad Saufi Hassan

Variasi jaringan 5G yang sudah dipertingkatkan iaitu 5.5G dijangka akan digunakan secara komersil dalam skala besar menjelang 2025 kelak.

Ketua Bahagian Pengurusan Rangkaian dan Spektrum Masa Depan, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Walid Mathlouthi berkata, variasi jaringan berkenaan akan memberi lebih banyak faedah khususnya dalam aspek digitalisasi ekonomi serta mempercepatkan transformasi hijau.

"Spektrum jaringan ini akan menjadi penting untuk pembangunan infrastruktur teknologi masa depan, terutamanya dalam komunikasi mudah alih dan evolusi 5G hingga 5.5G.

"Rantaian nilai industri global secara keseluruhan pada masa ini mengambil berat tentang peruntukan spektrum jalur lebar ultra dan penggunaan spektrum semua pautan 'uplink'.

"Adalah penting untuk piawaian bersatu diterima pakai di seluruh dunia," katanya ketika Meja Bulat Media 5.5G dan Dunia Pintar 2030 ketika Minggu Inovasi Huawei, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Huawei 5.5G Jaringan Tanpa Wayar, Wang Qi turut bersetuju dengan pandangan berkenaan dan dunia pada hari ini berubah begitu pantas dalam aspek kemajuan teknologi.

"Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, akan ada lebih banyak aplikasi pintar muncul dan keadaan ini memerlukan suatu sambungan atau evolusi jaringan 5.5G untuk menyokong keupayaan berkenaan.

"Jaringan evolusi ini mampu untuk menyokong 100 bilion sambungan dengan sokongan kelajuan 10Gbs di mana-mana sekali gus ia akan memainkan peranan yang besar dalam industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 11:04 AM