Muhammad Saufi Hassan


DUNIA kini giat mempertingkatkan kemampuan infrastruktur untuk membolehkan jaringan Internet termaju iaitu 5G digunakan secara meluas dan ia bukan saja memberi faedah kepada pengguna sebaliknya segmen industri secara keseluruhannya.

Jaringan berkenaan bukan saja memberikan keupayaan dalam sudut kelajuan liputan, malah bagi segmen industri ia membolehkan perkhidmatan secara robotik dilaksanakan secara menyeluruh membabitkan pelbagai segmen utama.

Menerusi Persidangan Antarabangsa Hari Inovasi Huawei yang diadakan di Chengdu, China minggu lalu turut menekankan kepentingan mempunyai infrastruktur yang baik dan syarikat itu turut menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pakej pembangunan infra.

Pencapaian 5G juga diakui akan memberi kesan besar dalam segmen perubatan, pertanian, keselamatan dan sudah pasti teknologi maklumat yang semakin berkembang pesat.

XU menegaskan Huawei bersedia untuk meluaskan perkhidmatannya di Asia Pasifik.
XU menegaskan Huawei bersedia untuk meluaskan perkhidmatannya di Asia Pasifik.

Bagi segmen keselamatan contohnya, pihak berkuasa kini boleh menggunakan khidmat dron dan robot untuk melakukan penyeliaan di kawasan sempadan serta video yang dihantar kepada pusat kawalan adalah beresolusi ultra tinggi dengan keadaan masa nyata sebenar.

Syarikat gergasi elektronik berkenaan sekali lagi menyatakan komitmen yang tinggi untuk melancarkan jaringan 5G secara meluas termasuk penyediaan infrastruktur jaringan berkenaan di seluruh Asia Pasifik.

Sehingga kini, Huawei juga berjaya mendapat lebih 50 kontrak komersial membabitkan kerja pembangunan infrastruktur serta kajian dan pembangunan (R&D) di seluruh dunia dan syarikat itu yakin tahun depan adalah tahun yang penting untuk dunia.

Berdasarkan pecahan kontrak yang berjaya dimiliki Huawei, mereka sudah mendapatkan 28 kontrak membabitkan beberapa negara di Eropah, 11 kontrak di Timur Tengah, enam di Asia Pasifik, empat di Amerika Syarikat (AS) dan satu di rantau Afrika.

KEMAJUAN 5G boleh dimanfaatkan dalam bidang perubatan.
KEMAJUAN 5G boleh dimanfaatkan dalam bidang perubatan.

Antara semua rantau berkenaan, Asia Pasifik dikategorikan sebagai segmen pasaran yang sangat penting dan sehingga kini, rantau berkenaan antara yang berjaya menjadi rantau pertama melancarkan sistem jaringan itu secara komersial.

Korea Selatan adalah negara pertama yang menggunakan jaringan 5G secara komersial dan hasilnya begitu baik walaupun wujud beberapa masalah tertentu namun perkara itu dilihat sebagai proses untuk mendapat sistem jaringan yang sempurna.

Sejak jaringan 5G dilancarkan April lalu, jumlah pengguna 5G di negara berkenaan sudah mencecah dua juta orang manakala China sedang giat membangunkan secara meluas jaringan berkenaan dan akan digunakan secara komersial tidak lama lagi.

Ketika ini, terdapat 35 pengendali telekomunikasi membabitkan 20 negara sudah melancarkan pelan 5G mereka manakala 33 negara sudah mengedarkan spektrum 5G mereka.

Malaysia tidak ketinggalan apabila turut melancarkan fasa percubaan untuk jaringan 5G di beberapa lokasi dan hasil daripada ujian itu akan dijadikan penanda aras sebelum melaksanakan secara meluas.

PENGUNJUNG mencuba realiti maya ketika Persidangan Antarabangsa Hari Inovasi Huawei.
PENGUNJUNG mencuba realiti maya ketika Persidangan Antarabangsa Hari Inovasi Huawei.

Presiden Institut Kajian Strategik Huawei, William Xu berkata, jaringan 5G berkenaan tiba pada masa yang sangat tepat apabila kini semua pihak mencari penyelesaian untuk rangkaian yang menawarkan kelajuan lebih baik untuk semua segmen dan permintaan industri.

“Secara lebih khusus, jaringan Internet termaju ini iaitu 5G boleh memberi nilai liputan yang sangat baik, kadar kuantiti data yang boleh dihantar (bandwidth) dan paling penting adalah sistem jaringan komputer yang boleh menghantar mesej dengan kadar kelewatan yang sangat minimum (low latency).

“Menerusi spektrum jaringan berkenaan, kita dapat manfaat yang pelbagai bermula daripada kemudahan jaringan Internet yang laju serta stabil sehingga kepada keperluan industri yang bersifat kompleks seperti segmen perubatan dan pembedahan secara maya.

“Kemajuan 5G ini akan membolehkan pelbagai aplikasi dimanfaatkan yang sebelum ini menjadi halangan berikutan masalah kelajuan penghantaran data yang sangat stabil,” katanya.

Beliau berkata, Huawei sentiasa optimis jaringan 5G ini akan dapat dibangunkan secara meluas sepanjang tahun ini dan menjelang beberapa tahun akan datang ia bakal menjadi jaringan utama di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 11:21 AM