PENUNJUK aras prestasi membuktikan keupayaan MSI Gaming X Trio RTX 3060Ti.
PENUNJUK aras prestasi membuktikan keupayaan MSI Gaming X Trio RTX 3060Ti.
Muhammad Saufi Hassan

[email protected].m

PENGGUNA hari ini berdepan masalah kekurangan bekalan kad grafik atau unit pemproses grafik (GPU) berikutan beberapa faktor utama termasuk kekangan pengeluaran.

Sejak Nvidia melancarkan kad grafik baharu mereka daripada siri RTX 3000, kini generasi berkenaan sudah memiliki lima barisan produk iaitu RTX 3090, RTX 3080, RTX 3070, RTX 3060Ti dan terbaharu RTX 3060.

Minggu ini, #ITMetro membuat penilaian terhadap sebuah kad jenama premium daripada siri RTX 3060Ti iaitu MSI Gaming X Trio memandangkan barisan produk daripada jenama berkenaan membuktikan keupayaannya pada siri RTX 2000.

Pastinya semua pengguna kagum dengan keupayaan MSI mengeluarkan siri kad prestasi untuk RTX 2080Ti iaitu Lightning Z yang menewaskan beberapa jenama kad premium lain daripada aspek prestasi, penyejukan dan reka bentuk.

Untuk MSI Gaming X Trio RTX 3060Ti, ia dilengkapi dengan tiga kipas penyejuk menggunakan teknologi Torx Fan 4.0 bersama Tri Frozr 2 yang membuktikan keupayaan penyejukan.

MSI Gaming X Trio RTX 3060Ti tawar kuasa prestasi baik untuk resolusi 1080p dan 1440p.
MSI Gaming X Trio RTX 3060Ti tawar kuasa prestasi baik untuk resolusi 1080p dan 1440p.

Penulis boleh menyatakan bahawa MSI Gaming X Trio RTX 3060Ti adalah yang terbaik dalam kelasnya jika dibandingkan dengan jenama lain berdasarkan beberapa ujian prestasi yang dilaksanakan.

Berdasarkan ujian berkenaan, MSI Gaming X Trio RTX 3060Ti bagi permainan Shadow of The Tomb Raider menggunakan resolusi 1080p mencatatkan bacaan bingkai sesaat (FPS) 146 menewaskan dua lagi jenama premium lain.

Untuk judul permainan sama bagi resolusi 1440p turut mencatatkan keputusan mengagumkan apabila FPS direkod pada tahap 111 dengan tetapan kesan grafik tinggi bersama fungsi DX12.

Resolusi 4K pula merekodkan bacaan FPS sebanyak 60 masih menerajui ujian penanda aras jika dibandingkan dengan jenama premium lain.

Tidak cukup itu, kad berkenaan juga menawarkan kuasa penyejukan yang maksimum ketika kapasiti penuh atau 'full load' dengan rekod bacaan sekitar 55 darjah Celcius untuk bilik yang dilengkapi penghawa dingin.

TEKNOLOGI penyejukan untuk kad berkenaan adalah yang terbaik jika dibandingan dengan jenama lain.
TEKNOLOGI penyejukan untuk kad berkenaan adalah yang terbaik jika dibandingan dengan jenama lain.

Bagi suhu bilik pula, kad berkenaan merekodkan 60 hingga 62 darjah Celcius saja untuk kapasiti penuh, sekali gus menjadi kad grafik paling rendah dalam rekod suhu.

Kesan bunyi kipas juga tidak begitu kedengaran walaupun ketika resolusi diletak pada tahap tertinggi dan ia adalah kad grafik yang baik untuk resolusi 1080p serta 1440p.

Ujian penilai prestasi pula turut merekod situasi sama apabila kad jenis berkenaan adalah 'raja' untuk kelas RTX 3060Ti jika dibandingkan dengan semua kad lain.

Bagi pengguna di luar sana yang masih memikirkan untuk membeli kad grafik, MSI Gaming X Trio RTX 3060Ti adalah jawapannya kerana kad ini 'raja' untuk segmen berkenaan.

Kad ini juga berkeupayaan untuk resolusi 1080p serta 1440p tanpa sebarang masalah termasuk melancarkan permainan kelas AAA bersama tetapan kesan grafik ultra.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 6:19 AM