PRESIDEN Samsung Malaysia Electronics, Yoonsoo Kim menunjukkan Samsung Flip. FOTO NSTP/ROSELA ISMAIL
PRESIDEN Samsung Malaysia Electronics, Yoonsoo Kim menunjukkan Samsung Flip. FOTO NSTP/ROSELA ISMAIL
Nabil Basaruddin


SAMSUNG Malaysia Electronics (SME) memperkenalkan Samsung Flip, papan putih pintar yang memberikan landskap baharu kepada segmen ruang tempat kerja lebih moden dan cekap.

Presidennya, Yoonsoo Kim berkata, Samsung Flip adalah inisiatif yang tampil sebagai salah satu kaedah baru dalam urusan dunia perniagaan menggantikan cara konvensional sebelum ini iaitu papan putih biasa.

Beliau berkata, meskipun papan putih terus menjadi alat penting dalam dunia perniagaan seperti melakukan perancangan dan mesyuarat, namun ia dianggap sebagai kaedah analog.

“Samsung terus komited untuk menyediakan suasana kerja lebih baik menerusi visinya iaitu ‘ruang kerja untuk masa depan’

kerana kami percaya ia mampu meningkatkan produktiviti dan kreativiti.

“Pengenalan Samsung Flip ini mampu mewujudkan pengalaman kerja lebih digital, menyediakan ruang kerja kondusif dan perniagaan optimis,” katanya pada majlis pelancaran produk baru itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Samsung Flip kini sudah berada di pasaran Malaysia dan dijual pada harga runcit RM12,999 seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 6:04 PM